Malaysia Dateline

Datuk Lee Chong Wei

Kejayaan terbesar Chong Wei berjaya satukan rakyat melalui sukan, kata TPM

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan kejayaan terbesar jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei adalah berjaya menyatukan seluruh rakyat melalui sukan.

Timbalan Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada Chong Wei kerana mengharumkan nama negara di pentas dunia.

“Saya mendoakan kejayaan DLCW dalam apa jua bidang yang dipilih selepas ini,” katanya di laman Twitter beliau, hari ini.

Chong Wei hari ini mengumumkan untuk ‘menggantung raket’ selepas 19 tahun mencurah keringat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Legenda badminton itu menjelaskan keputusan yang sukar itu dibuat demi mengutamakan kesihatannya.

Chong Wei, bekas pemain nombor satu dunia, mendambakan 19 tahun hidupnya sebagai pemain badminton profesional dan menempa nama dalam sukan itu sebagai antara jaguh dunia yang disegani.

Antara pencapaian Chong Wei adalah memenangi pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali, pada edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.