Malaysia Dateline

Kejelekan pedagang agama dalam sistem politik

Keperluan manusia kepada nilai-nilai besar dalam kehidupan adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Keadilan, kejujuran, beramanah, sanggup berkorban, mementingkan ilmu dan sebagainya diajar secara formal dan tidak formal di sekolah, di dalam keluarga dan masyarakat. Sebuah sistem yang meletakkan nilai-nilai ini sebagai asas dan matlamat dalam pentadbiran negara dan masyarakat adalah sistem yang akan berjaya.

Bagaimanapun ia bergantung kepada amalan nilai-nilai ini, bukan setakat pengucapannya, catatannya di atas kertas atau ukiran pada dinding dan sebagainya.

Dan semua orang memaklumi betapa agama Islam mengajar tentang nilai-nilai ini, meletakkan perlakuan yang patuh kepada nilai-nilai tersebut sebagai matlamat agama. Malah dalam mencapai maksud syariah, pengamalannya adalah amat perlu.

Malangnya wujud golongan-golongan manusia yang merobek keindahan dan kehebatan nilai-nilai tersebut. Tindak tanduk mereka malah ucapan-ucapan juga merendah dan memperlecehkannya walaupun mereka sendiri barangkali tidak menyedarinya. Apa yang dilakukan tidak langsung mencerminkan kefahaman dan amalan nilai agung dalam agama, sebaliknya membawa kepada ejekan dan kritikan daripada masyarakat.

Salah satu golongan yang ketara dalam masyarakat ialah ahli-ahli politik yang sewenang-wenangnya mempamerkan perlakuan yang “jijik” apabila membelakangi tuntutan nilai-nilai tersebut.

Cuma sekiranya mereka terdiri daripada ahli politik biasa tanpa dilihat mewakili “agama”, yang kerja mereka siang malam hanya mencari pengaruh, mengukuh kedudukan politik dan mengejar kuasa, ia boleh difahami sebagai suatu tabiat biasa ahli politik semata-mata.

Namun yang menjengkelkan ialah apabila ahli politik ini melibatkan mereka yang mendakwa sebagai kelompok “agama”, sebagai wakil “parti Islam” dan sebagainya tetapi jelas mempergunakan “agama” untuk tujuan politik, semata-mata mencari kuasa, pengaruh dan kedudukan dan segala keistimewaan yang datang dengan memegang kuasa. Ini adalah tragedi buat umat Islam dan rakyat negara ini secara amnya.

Sejak awal 1980an kita perhatikan tindak tanduk ahli politik ini yang menggunakan label “agama” untuk mengaut keuntungan politik buat diri dan kelompok mereka.

Mungkin akan ada pihak yang tidak senang dengan kenyataan ini, tetapi itulah hakikatnya dan rakyat Malaysia telah menghadapinya sejak sekian lama. Bahkan politikus agama ini terus menggunakan hujah-hujah agama dalam mempertahankan tindakan mereka sehingga ke hari ini.

Banyak contoh boleh dikemukakan di sini bagi menjelaskan bagaimana “agama” telah dipergunakan atau diperalatkan selama ini untuk membolehkan golongan ini mendapat kuasa, dan bagaimana juga tindakan ini telah membawa keretakan dalam masyarakat satu ketika dahulu.

Semua orang tahu bagaimana dogma tentang akidah ditonjolkan sebegitu rupa sehingga parti Melayu terbesar waktu itu, Umno, dilebel sebagai “tidak Islamik”, sebagai parti yang mendokong Perlembagaan Lord Reid justeru itu terkeluar daripada Islam.

Hasil daripada dogma dan ajaran oleh pemimpin mereka telah membawa kepada peristiwa “dua imam”, penyembelihan oleh ahli Umno dianggap haram dimakan, kubur perlu berasingan dan sebagainya. Kemuncaknya, perpecahan dalam masyarakat Melayu-Islam menjadi satu isu yang amat serius.

Setiap kali menjelang pilihanraya golongan ini akan menjaja isu “hudud” dan menekan parti pemerintah dipimpin Umno atas isu tersebut.

Cara mereka mendesak supaya hudud dilaksanakan seolah-olah mereka tidak sabar-sabar hendak ia dilaksanakan dan semestinya pelaksanaannya akan menjadi kenyataan sebaik sahaja mereka mendapat kuasa mahupun berada di dalam kerajaan.

Dengan cara ini emosi yang dibangkitkan dalam kalangan umat semakin meluap-luap dan menjadi tekanan politik ke atas pemerintah BN dahulu dan PH yang datang kemudian.

Bukan sahaja hudud, tetapi juga rang undang-undang lain seperti RUU 355 berkaitan kuasa mahkamah syariah dan penyebaran agama lain dalam kalangan Muslim dibangkitkan, termasuk isu yang dekat dengan umat Islam seperti pengharaman arak dan judi.

Bermakna, golongan ini memberikan bayangan tentang “pemerintahan Islam” ala ideologi mereka andaikata mereka berkuasa kelak. Mereka membina suatu harapan yang tinggi dalam kalangan pengikut dan sebahagian umat Islam yang terpesona dengan retorik “Islam” mereka.

Cara mereka menyampaikan mesej-mesej mereka biasanya menerusi ceramah yang berapi-api seolah-olah merekalah pejuang Islam sebenar dan jujur dalam mahu “melaksanakan Islam”.

Apatah lagi menggerakkan orang untuk berhimpun atas isu-isu yang “menggugat Islam” seperti kelambatan pelaksanaan akta berkait mahkamah syariah misalnya, RUU 355. Perhimpunan di Padang Merbok, Kuala Lumpur masih segar dalam ingatan.

Dalam membicarakan soal “melaksanakan Islam” ini, sebenarnya tiada diketahui apakah yang mereka maksudkan dengan “pelaksanaanya” itu. Adakah ia merujuk kepada retorik “hudud”, pengharaman arak dan judi dan penguatkuasaan tatacara berpakaian dan sebagainya?

Biasanya kata-kata “melaksana Islam” ini mempunyai konotasi emosi yang sangat kuat kerana boleh dikatakan rata-rata masyarakat Muslim di negara kita tersentuh apabila “Islam” dan isu berkaitan dibicarakan.

Penelitian secara ilmiah tentang “pelaksanaan Islam” tidak diberi perhatian, sebaliknya gambaran kabur mengenainya dijaja ke merata tempat buat membangkitkan emosi yang akhirnya berguna bagi tujuan politik semata-mata.

Kini golongan politik ini menjadi sebahagian daripada pemerintah negara. Hari ini kesemua retorik “agama” sudah hilang daripada radar.

Hari ini mereka dihidangkan dengan realiti sebenar negara – Malaysia adalah sebuah negara pelbagai etnik, agama, kepercayaan dan budaya dan urusan negara berjalan di atas landasan demokrasi berparlimen.

Malaysia mempunyai budaya pemerintahannya yang tersendiri dan rakyatnya juga sudah terbentuk di dalam acuan budaya ini sekian lama. Bukanlah ini bermakna tiada ruang untuk “Islam” berpenanan besar dalam pemerintahannya –beberapa aspeknya sudah pun diamalkan – tetapi ia bukanlah mengikut apa yang difahami dan dipropagandakan oleh ahli politik daripada parti yang mendakwa memperjuangan Islam itu.

Dahulu mereka juga melaungkan tentang “demokrasi” walaupun apa yang mereka tuntut ketika itu berlawanan dengan idealisme demokrasi. Kini mereka terpaksa menghadapi realiti demokrasi dalam masyarakat dan negara.

Bagus juga mereka berada di dalam kerajaan –sekurang-kurangnya dapat mempelajari sedikit sebanyak tentang tata kelola sebuah pentadbiran moden yang diasaskan di atas nilai-nilai tertentu.

Bukan kesemua nilai itu bertentangan dengan nilai Islam dan ini menjadi pengajaran yang baik buat mereka
Seperti yang diungkapkan di atas, golongan ini mula mendapat pengalaman baru tentang pemerintahan sebuah negara moden. Segala apa yang mereka laungkan dan tuntut dahulu menjadi tidak berapa relevan dalam konteks realiti sedia ada.

Sehingga orang nombor dua parti ini menegaskan bagaimana berbezanya “dahulu dengan sekarang”, “dahulunya sebagai pembangkang boleh sahaja tuntut itu dan ini, tetapi apabila sudah menjadi kerajaan ia tidak boleh macam itu lagi”.

Bermakna selama ini apa yang mereka buat hanyalah untuk politik mereka, untuk mendapat kuasa, bukannya sebenar-benarnya itu yang dikehendaki mereka. Malang bagi rakyat Malaysia yang telah ditipu oleh mereka ini.

Yang menjadi kemusykilan sekarang ialah golongan ini terus dengan retorik agama sebagai identiti mereka. Masih dengan dogma di luar walau di dalam kerajaan senyap. Masih mempergunakan “agama” bagi mengukuhkan kedudukan mereka.

Sudah sampai masanya parti yang dilebel dengan “agama” tidak dibenarkan dalam sistem kita. Cukuplah dengan dogma dan khayalan selama ini, sekarang seharusnya berpijak pada realiti.

Seharusnya membangunkan nilai-nilai besar dalam pemerintahan dan masyarakat – bukan dogma sempit yang mempesonakan tetapi hanya sebagai tunggangan.