Kejohanan Berbasikal Le Tour de Iskandar Johor bakal dianjur April depan

Kejohanan Berbasikal Le Tour de Iskandar Johor bakal dianjur April depan

Kejohanan Berbasikal Le Tour de Iskandar Johor yang bakal dianjurkan April depan akan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM850,000.

Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata kejohanan berbasikal julung kali diadakan itu akan menyaksikan pasukan pelumba tempatan dan antarabangsa dari 10 buah negara berentap pada jarak jarak perjalanan sejauh 700 kilometer.

Beliau berkata bertemakan ‘Reaching Excellent (Mencapai Kecemerlangan)’ Le Tour de Iskandar Johor akan berlangsung selama lima hari bermula 17 hingga 21 April mengelilingi 10 daerah di negeri ini.

“Kita jangkakan lebih 120 pelumba menyertai kejohanan ini dan buat masa ini kita sudah ada 10 permohonan antaranya daripada Romania, Singapura, Ethiopia dan Thailand,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kejohanan itu, di sini, hari ini.

Osman berkata kejohanan yang menelan kos penganjuran RM2.5 juta itu mendapat pengiktirafan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF).

Menurutnya, pelumba tempatan yang bakal menyertai kejohanan terbabit adalah pelumba dari negeri ini yang memenangi pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) lepas iaitu Mohamad Saari Amri dan pelumba senior Mohd Razif Mohd Salleh.

Katanya kejohanan dalam membangunkan sukan berbasikal kebangsaan itu juga dilihat dapat membantu mempromosikan sektor pelancongan dan Sukma yang bakal diadakan di negeri ini pada 2020.

“Kejohanan ini akan menarik kedatangan pasukan terbaik sama ada dari Asia atau benua lain dan kita akan promosi sama ada menerusi media sosial dan media massa.

Ia juga akan menjadi lonjakan bagi pasukan yang menyertai untuk bersaing dalam mendapatkan mata bagi melayakkan diri ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Katanya, lebih 200,000 orang bakal menyaksikan perlumbaan yang akan bermula dari Iskandar Puteri dan berakhir di Johor Bahru.

–BERNAMA