Kejohanan Hari-Hari Bola Sepak Tujuh Sebelah tarik penyertaan 120 pasukan

Kejohanan Hari-Hari Bola Sepak Tujuh Sebelah tarik penyertaan 120 pasukan

Kejohanan Hari-Hari Bola Sepak Tujuh Sebelah anjuran Pusat Pakaian Hari-Hari (PPHH) mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 120 pasukan bola sepak.

Pengurus Besar Korporat dan Perhubungan Awam PPHH Amilludin Latip berkata kejohanan dua hari bermula Sabtu lalu itu melibatkan dua kategori iaitu bawah 12 tahun (U12) dan bawah 10 tahun (U10).

Beliau berkata kejohanan di Stadium Kajang itu menjadi platform bagi kanak-kanak bersukan selain medan mencungkil bakat.

“Kejohanan ini merupakan kali keempat dianjurkan PPHH dan sambutan yang diterima di kalangan peserta cukup hebat berbanding sebelum ini dengan hanya penyertaan sekitar 60 pasukan sahaja,” katanya kepada Bernama.

Katanya PPHH merancang menganjurkan kejohanan itu melalui konsep jelajah ke seluruh Malaysia di samping mewujudkan saingan untuk kategori bawah 8 tahun (U8) pada masa akan datang.

Dalam pada itu, pasukan ATTP Cougars menjuarai kategori U12 setelah menang tipis 1-0 pada perlawanan akhir menentang Serdang Kickers FC.

Bagi kategori U10 pula, pasukan ATP SPU Torpedo muncul juara setelah menewaskan Rembau FC, 2-0 dalam aksi final.

— BERNAMA

Loading...