Kejohanan skuasy remaja Yayasan CIMB bermula esok

Kejohanan skuasy remaja Yayasan CIMB bermula esok

Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) akan menjadi tuan rumah Kejohanan Skuasy Remaja Kebangsaan Yayasan CIMB ke-14 bermula esok.

Menurut SRAM dalam kenyataannya hari ini, kejohanan lima hari itu akan memulakan musim skuasy Malaysia bersama dengan pelancaran Program Pembangunan Skuasy Remaja Yayasan CIMB bagi 2019.

“Sebagai pendukung lama dalam dunia skuasy Malaysia, kerjasama yang terjalin antara Yayasan CIMB dengan SRAM sejak 10 tahun lepas telah membuahkan hasil menerusi Program pembangunan Skuasy Remaja Yayasan CIMB itu.

“Program pembangunan skuasy remaja itu telah memainkan peranan penting dalam pencapaian atlet di peringkat remaja … dan sokongan MSN (Majlis Sukan Negara) terhadap program itu menerusi bantuan kewangan serta jurulatih di negeri-negeri amat dihargai,” katanya.

Sejumlah 575 pemain bakal bersaing di peringkat tertinggi dalam lima kategori umur, iaitu U-11, U-13, U-15, U-17 dan U-19 untuk acara lelaki dan perempuan.

Ekoran sambutan yang luar dugaan, kejohanan tahun ini akan berlangsung di dua tempat iaitu Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil dan Pusat Skuasy Jalan Duta manakala perlawanan akhir bagi semua kategori akan dilangsungkan di Arena Nocol David Pusat Skuasy Nasional.

— BERNAMA