Kejutan di Fastaqim yang tidak mengejutkan

Pasukan berkuda di Fastaqim yang janjikan kejutan.

Pas yang mengumumkan akan membuat kejutan malam tadi, namun tidak siapa yang terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh Pas di Fastaqim 2.0.

Ketiga-tiga nama yang diumumkan malam tadi tidak mengejutkan bahkan mereka tidak bersedia pun menjadi ahli Pas.

“Saya bekerja untuk tolong orang miskin sekarang, jadi saya tidak akan masuk mana-mana parti,” kata Tan Sri Khalid Ibrahim, bekas menteri besar Selangor yang turut berucap malam tadi tetapi bergegas meninggalkan majlis itu kerana terpaksa keluar negara.

Dua nama lagi diumumkan malam tadi juga berkata mereka tidak menyertai Pas tetapi menyokong usaha parti itu.

Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Zakaria Jaafar dan bekas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Abdul Rahim Che Daud muncul di pentas Himpunan Fastaqim 2.0.

Mereka bagaimanapun kemudian menjelaskan mereka hanya hadir memberikan sokongan, dan bukannya masuk Pas.

Zakaria yang ditemui wartawan selepas majlis itu menjelaskan beliau sebenarnya hanya hadir memberi sokongan kepada parti itu kerana komitmen menentang rasuah.

“Saya bukan jadi ahli PAS, saya cuma menyokong dan beri nasihat isu rasuah.

“Mungkin ada salah faham di sini. Saya terbuka untuk bercakap dengan sesiapa saja soal ini (rasuah),” kata Zakaria.

Beberapa hari menjelang perhimpunan ini, ketua penerangan Pas Nasarudin Hassan berkata, akan berlaku kejutan besar dalam perhimpunan kali ini.

Malam kemuncak Himpunan Fastaqim 2.0 (H200K) pada 30 September ini bakal membuat kejutan apabila dipercayai dua, tiga orang tokoh nasional akan bersama menyertai PAS, lapor media Pas.

Nasrudin janjikan kejutan di malam akhir Fastaqim 2.0 dalam sidang media pada 27 September.

Pengarah Fastaqim 2.0, Ustaz Nasaruddin Hassan mengesahkan penyertaan beberapa tokoh nasional itu namun identitinya masih dirahsiakan.

Katanya, pada malam kemuncak himpunan Fastaqim ada suatu pengistiharan dua atau tiga orang tokoh nasional yang sebelum ini berada di luar PAS akan menyertai parti itu.

“Satu kejutan akan diisytiharkan dua atau tiga orang tokoh nasional yang akan menyertai bersama dengan perjungan PAS.

“Siapakah tokoh-tokoh itu, tunggulah kemunculannya pada malam kemuncak Himpunan Fastaqim 2.0 nanti.

“Insya’Allah, dua, tiga orang tokoh ini akan hadir bersama pada malam itu dengan kita untuk membuat pengistiharan bersama dengan perjuangan PAS,” ujarnya kepada wakil media 27 September lalu.

6.7
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 6.0