Malaysia Dateline

“Kek rakyat hiris nipis-nipis, kek politik umpama kek 9 tingkat” – Saddiq

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengulas analogi ‘kek ekonomi’ yang digunakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam sesi debatnya bersama Anwar Ibrahim.

Beliau menerusi ciapan di Twitter, mempertikai kenyataan Najib kerana menurutnya, kek untuk rakyat hakikatnya akan dibahagikan sebahagian kecil sahaja.

Sebaliknya kek untuk orang politik pula diumpamakannya seperti kek kahwin mewah dan dibahagikan satu kek untuk seorang.

“Kek rakyat, hiris nipis, bahagi 5 untuk satu keluarga.

“Kek ahli politik elit, kek kahwin 9 tingkat seorang dapat satu.

“Ini ke kek ekonomi yang dimaksudkan? Apa pendapat korang?,” Ciapnya di Twitter malam tadi.

Terdahulu, Najib menggunakan analogi bahawa ekonomi negara seperti sebuah kek, yang perlu dibesarkan supaya ia dapat diagihkan kepada semua lapisan masyarakat.

Sewaktu berhujah di program Debat Perdana, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, soal ekonomi perlu mempunyai dua cabang iaitu ekonomi kapital dan ekonomi rakyat.

Sementara itu, Syed Saddiq menerusi video yang dikongsikan dalam siri Twitter beliau mengingatkan bahawa 600,000 keluarga pertengahan M40 telah tergelincir ke kumpulan B40.

“Hari ini semua harga naik. Harga rumah naik, harga makanan dan harga minyak (juga naik). Tapi yang tak naik-naik gaji rakyat kita. Dulu graduan 10 tahun lepas gaji RM2,000. Kini kita pun RM2,000,” katanya.