Malaysia Dateline

Kekal aktif hanya dengan air suam, Tun M minum kopi setakat jam 1 tengah hari

Tun Dr Mahathir Mohamad semalam berkongsikan gaya hidupnya yang kekal aktif pada usianya kini sudah menjangkau 95 tahun.

Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu memberitahu beliau yang lebih menggemari kopi berbanding teh tidak mengambil minuman itu pada waktu minum petang.

“Saya hanya minum kopi setakat jam 1 tengah hari. Lepas itu tak minum (kopi).

“Malah ketika tea time pun, saya hanya minum air suam sejak kecil sampai sekarang,” katanya dalam bual bicara santai bersama bekas pengacara TV3, Nizal Mohammad menerusi slot Nizal & Co semalam.

Mahathir juga memberitahu sejak zaman remaja lagi beliau gemar terlibat dalam aktiviti yang melibatkan pergerakan bukannya pasif seperti memancing atau menonton acara sukan.

“Waktu remaja saya (aktiviti) sejak dulu sampai sekarang sama saja. Apa yang saya lakukan di zaman muda sama hingga zaman sekarang.

“Saya suka aktif sebab itu saya jarang tengok (acara) sukan. Pasal tak buat apa-apa. Duduk saja, itu saya tidak senang,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mahathir yang pernah mengetuai BN mencapai kejayaan pada lima Pilihan Raya Umum (PRU) 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999 itu memberitahu, beliau tidak makan ikan.

“Dulu masa kecil, orang tua-tua kata jangan makan ikan. Jadi bila besar, saya tidak makan kerana rasa hanyir.

“Tapi kalau ikan kering, saya makan. Semua keluarga makan ikan. Saya seorang saja tidak makan ikan,” jawabnya sambil tersenyum.

Ayah kepada tujuh anak dan datuk kepada 16 cucu itu juga berkata, beliau boleh menyediakan masakan mi bandung dan nasi goreng selain mengetahui cara untuk menjadikan ikan bilis yang digoreng lebih rangup.