Malaysia Dateline

Kekal bertanding 35 kerusi, AMANAH bincang agihan 52 kerusi ditinggalkan Bersatu

AMANAH akan berbincang proses pengagihan kerusi antara parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, parti yang berusia lima tahun itu akan mengekalkan 35 kerusi yang ditandingi pada PRU-14, dua tahun lalu.

Menurutnya, AMANAH juga akan membincangkan pengagihan 52 kerusi tambahan yang ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan PKR dan DAP.

“Bagaimanapun, soal kerusi tambahan itu akan dibincangkan kemudian. Buat masa ini kita tumpukan pada PRN Sabah selain usaha AMANAH dan rakan-rakan untuk mengembalikan semula mandat rakyat,” ujarnya.

Ahli Parlimen Lumut itu berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Pemuda AMANAH dan Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Wilayah Persekutuan di Hotel Putra hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pembangunan Sumber Manusia AMANAH Nasional, Suhaizan Kaiat; Ketua AWAN Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi dan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Sementara itu, Dr Mohd Hatta yang merupakan Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan berkata, proses rundingan kerusi antara parti dalam PH jauh lebih mudah berbanding ketika PRU-14.

“Secara asasnya majoriti kerusi disandang parti sedia ada ini kekal iaitu yang bertanding dahulu (PRU-14) dan sebarang perubahan akan dibincangkan dengan baik dalam kalangan parti-parti.

“Jadi, ia tidak sepayah ketika menghadapi PRU14 lalu. Namun, untuk masa masih panjang, kita perlu selesaikan dahulu urusan (Pilihan Raya Negeri) di Sabah,” kata Dr Hatta lagi.