Malaysia Dateline

Kekal dalam Pas, undi kepada Pakatan Harapan

Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar

Satu-satunya pemimpin Pas yang secara terbuka menyokong Pakatan Harapan, Datuk Mahfuz Omar sekali lagi mengulangi seruan supaya ahli Pas memberi undi kepada gabungan parti itu pada pilihan raya akan datang.

Katanya, ahli Pas boleh terus kekal dalam parti berkenaan tetapi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mesti memberi undi kepada calon Pakatan Harapan.

“Bagi saya, kalau ada orang Pas yang tidak berani hendak keluar dari Pas kerana ada masalah tetapi dia menyedari masalah yang sedang dihadapi oleh negara kita ini perlu kepada peralihan kuasa, dia boleh terus kekal dalam Pas.

“Tiada apa masalah. Hadirlah dalam usrah dan kuliah Pas tetapi undi pada pilihan raya kali ini adalah untuk Pakatan Harapan sama ada AMANAH, PKR, PPBM dan DAP.

“Siapa pun yang bertanding yang diputuskan pimpinan Pakatan Harapan, itu yang akan kita pilih. Tiada masalah,” ujarnya dalam dialog di Kampung Dalam Pisang, Pasir Puteh pada Sabtu.

Mengulas pelancaran Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) oleh Presiden Pas pada kemuncak Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus akhir September lalu, Mahfuz berpendapat inisiatif Pas itu tidak bererti selagi parti pemerintah tidak berubah.

“WINS tidak akan ke mana kalau tidak berlaku peralihan kuasa kerajaan yang ada pada masa ini. Pas tidak akan mengambil alih pemerintahan negara kerana kenyataan Presiden Pas hanya menyasarkan untuk menang 40 kerusi Parlimen.

“40 (kerusi yang dimenangi) tak boleh memerintah. Nak memerintah negara kena 112 kerusi daripada 222 kerusi,” bidasnya.

Bahkan, sasaran kemenangan Pas itu, tegasnya, hanya akan membolehkan BN terus kekal memerintah sekaligus GST tidak akan dimansuhkan serta subsidi barangan keperluan akan terus ditarik.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena berkenaan menyifatkan hanya Pakatan Harapan paling relevan mengambil alih tampuk pemerintahan di Putrajaya.

“Bagi saya Pakatan Harapan mesti diberi tanggungjawab untuk mengambil alih kuasa politik di negara kita supaya hasrat untuk melihat GST dimansuhkan dan subsidi dikembalikan kepada rakyat akan menjadi kenyataan,” ujarnya lagi.