Malaysia Dateline

Kekal dengan PN kerana kepentingan diri, parti bukan rakyat

PAS pernah menganggap dirinya king maker politik negara. Sokongannya kepada Bersatu dalam pengkhianatan terhadap Kerajaan PH – sehubungan dengan pendiriannya menolak DAP – membantu Kerajaan PN naik berkuasa (walaupun didakwa sebagai ‘pintu belakang’).

Berdasarkan sejarah hitam negara itu, anggapan PAS tersebut memang benar. Kalau ia bersama-sama PH, belum pasti lagi ‘Langkah Sheraton’ berjaya.

Hingga kini PAS menolak DAP atas alasan parti itu menghalang pelaksanaan hudud. Sebelum PAU 2020, ia kekal bersama-sama Umno hingga dikatakan ‘bermain dua kolam’.

Walau bagaimanapun, PAU 2020 di PWTC pada 27 dan 28 Mac lalu menyaksikan perpisahan PAS-Umno. PAS akhirnya memilih Bersatu untuk menghadapi PRU15 setelah diberi kata dua oleh Umno.

Hal yang berlaku ini dijadikan bahan jenaka oleh netizen dan pemerhati politik tanah air. Masakan tidak. Pada hari pertama PAU 2020, baik-baik sahaja pemimpin PAS yang diundang menghadirinya.

Namun begitu, pada hari kedua, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dikatakan ‘lari’ dari PAU 2020 itu. Dengan akhirnya memilih Bersatu, sahlah PAS meninggalkan Umno.

Namun demikian, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Umno serius memperkukuh kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN).

Justeru, beliau berharap rakan politik Umno dalam MN berfikir dengan mendalam mengenai kepentingan mempertahan gagasan gabungan tersebut yang asli.

Zahid menggesa rakan politik Umno agar mengambil iktibar kisah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Semangat 46 yang gagal kerana gabungan politik dibentuk tidak jujur, dan ikhlas.

Zahid turut mengingatkan laporan berita bertarikh 5 April 2019 yang memetik Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai kemungkinan muafakat PAS dan Umno boleh memenangi 132 kerusi Parlimen.

Untuk rekod, pakatan APU disertai PAS, parti serpihan Umno Semangat 46, Berjasa, Hamim dan Kongres Muslim India Malaysia (Kimma) sebelum PRU8 (1990).

Kimma meninggalkan APU sebelum PRU9 (1995). Secara rasminya APU bubar selepas PRU10 (1999).

Kata Zahid lagi, sejak Piagam MN dimeterai pada 14 September 2019, pelbagai kejayaan dicapai oleh PAS-Umno.

Antaranya adalah kemenangan pada banyak PRK, dan bersama-sama memperjuang kepentingan rakyat.

Walau bagaimanapun, Zahid membangkitkan soal ‘MN yang sebenar’ yang telah meraih keyakinan rakyat, tetapi kini mereka telah berubah hati.

Katanya, rakyat percaya kepada MN yang dahulu, bukan yang sekarang, kerana sinergi yang terbentuk antara Umno dengan rakan partinya dalam sebuah gabungan penuh tulus ikhlas.

Sukar mempercayai Umno berjuang untuk kepentingan rakyat dan bergabung bersama-sama pihak lain dengan tulus ikhlas. Umno pernah menyingkirkan PAS setelah mendapati dirinya kuat semula. Ketika lemah, semua pihak dipautnya tanpa menghiraukan prinsip, dan sejarah.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dipercayai merujuk perkembangan politik PAS di persada tanah air susulan ‘Langkah Sheraton’ yang membentuk Kerajaan PN.

Ini berikutan PAS kemudiannya menyertai gabungan politik PN, dan dalam masa yang sama masih mengekalkan hubungannya dengan MN.

Umno pada PAU 2020 mempertegas pendiriannya untuk mengakhiri kerjasama dengan Bersatu sebaik sahaja PRU15 bermula.

Pada 31 Mac lalu, Bersatu dan PAS dalam satu kenyataan bersama menegaskan akan terus mengukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU15.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS dan Bersatu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dan Dato’ Seri Hamzah Zainudin.

Sebelum ini, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain dilaporkan berkata kerjasama APU tidak dapat bertahan lama kerana sikap saling mempercayai hilang antara dua parti tunjang Semangat 46, dan PAS.

Menurut Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) itu, Semangat 46 mendakwa kerjasama politik APU berat sebelah apabila PAS mendominasi, dan mementingkan diri sendiri.

PAS pula, katanya mendakwa Semangat 46 tidak jujur dalam kerjasama politik dan masih gagal memahami perjuangan parti itu menegakkan Islam.

Umno dan Bersatu berada di bawah satu bumbung, iaitu dalam Kerajaan PN. Walaupun berlaku selisih faham, tetapi ia masih damai, di sebalik gelora di sepanjang hari. Persengketaan perlu diselesaikan, dan Umno perlu menyokong Kabinet PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kesemua menteri dan timbalan menteri yang menjadi penyumbang idea dan kerja dalam kabinet PN kini kembali berkhidmat seperti biasa.

Bagi pemerhati politik, Dhalan Maamor, tiada apa yang perlu diputuskan kerana tuan badan mahu kekal dalam Kabinet demi rakyat. Benarkah demi rakyat?

Mengenai PAU 2020 dan hubungan PAS-Umno, Dhalan mengibaratkannya sebagai guruh berdentum, hujan tak jadi, dan kain di jemuran tetap kering.

Episod desakan terhadap ‘pernikahan’ politik antara Umno dengan Bersatu telah berakhir. PAU 2020 sudah membuat keputusan, dan akar umbi bersetuju.

Presiden Umno telah menggunakan semua perkataan yang menggambarkan Umno tidak memerlukan Bersatu. Jerit-pekik perwakilan, dan bangun sebagai tanda sokongan kelihatan menyemarakkan PAU 2020 walaupun tidak seperti sebelumnya.

Ucapan presiden berbentuk arahan parti dan ia datang dari badan tertinggi, iaitu Majlis Tertinggi (MT). Namun demikian, selepas PAU 2020, ia seperti debu yang ditiup angin.

Tiada ucapan untuk berhibur kali ini seperti kebiasaannya. Tiada seloka tanda gembira melainkan ‘boo’ yang mewarnai PAU 2020 ketika Datuk Seri Shahidan Kassim berucap. Shahidan seperti ‘rusa masuk kampung’ selepas di‘boo’. Agak gelabah dan hilang semangat.

Sebahagian besar pembahas melepaskan perasaan yang terbuku. Bersatu menjadi mangsa belasahan setiap penjuru.

Pendirian Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub tidak berubah, dan beliau bercerita dengan jelas sebab penarikan sokongan terhadap Kerajaan PN. Ucapannya bersemangat, tetapi tindak balas perwakilan nyata hambar. Apabila diminta bangun menyokong, perwakilan bangun dalam keadaan seolah-olah terpaksa.

Berapi-api ucapan menolak dan mahu menyingkirkan Bersatu yang dianggap berlaku tidak adil, dan membuli Umno. Semua itu warna-warni PAU 2020 yang telah terpadam sehari selepasnya.

Tengku Razaleigh Hamzah bersuara selaku Pengerusi Jemaah Penasihat, tetapi nasihat yang diberikannya ‘masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri’.

Razaleigh atau Ku Li menasihatkan agar menteri dari Umno mesti segera keluar Kabinet, dan melepaskan jawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Oleh kerana suara Ku Li tidak lagi didengar, eloklah Ku Li mengkaji kedudukannya – perlukah beliau melepaskan jawatannya atau tidak.

Apa yang cuba mahu diperkata, pemerhati itu mengatakan Muhyiddin bukan calang-calang perdana menteri. Ada orang menyebut Muhyiddin ‘tapau’ PAU 2020, dan keadaan berlaku dengan baik apabila semua menteri dan timbalan menteri dari Umno akur akan nasihatnya. Mereka bersetuju untuk tidak meletakkan jawatan dan secara jelasnya, keputusan parti tidak lagi menjadi keutamaan.

Empat belas menteri dari Umno akhirnya bersepakat untuk kekal berada dalam Kabinet Kerajaan PN. Menurut Muhyiddin, persepakatan itu dicapai dalam pertemuan dengan mereka pada 29 Mac lalu.

Menteri-menteri dari Umno itu menemui Muhyiddin dan meminta nasihat mengenai kedudukan mereka dalam Kabinet berikutan keputusan PAU 2020 bahawa parti tersebut akan memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU15.

Usul supaya tiada kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 dan kebersamaan dalam kerajaan PN diteruskan hingga pembubaran Parlimen.

Ucapan dasar Presiden Umno diluluskan sebulat suara dengan gesaan semua ahlinya yang memegang jawatan dalam Kabinet Kerajaan PN, termasuk diberikan jawatan dalam GLC diminta menarik diri mulai 28 Mac 2021.

Kata Muhyiddin, mereka dinasihatkan agar terus berada dalam kerajaan dengan mengambil kira kepentingan rakyat, dan negara.

Ketika ini, tegas beliau, tumpuan utama kerajaan adalah memerangi COVID-19, melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, dan memulihkan ekonomi negara.

Tambah Muhyiddin, terdapat beberapa menteri dari Umno yang memegang portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan.

Justeru, Muhyiddin menegaskan, beliau tidak mahu peletakan jawatan mereka menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah COVID-19, dan memulihkan ekonomi negara.

Muhyiddin memberi jaminan Kabinet akan berfungsi seperti biasa, dan segala inisatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang.

Antara menteri dari Umno yang memegang portfolio penting dalam Kabinet PN ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Luar), Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Sains Teknologi dan Inovasi), dan Datuk Seri Dr Adham Baba (Kesihatan).

Selain itu, Tan Sri Annuar Musa (Wilayah Persekutuan), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Tenaga dan Sumber Asli), Datuk Noraini Ahmad (Pengajian Tinggi), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Belia dan Sukan), dan Datuk Halimah Mohamed Sadique (Perpaduan Negara).

Antara ahli Umno yang menjadi Timbalan Menteri termasuklah Datin Mastura Yazid (Jabatan Perdana Menteri – Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Dalam Negeri I), Datuk Zahidi Zainul Abidin (Komunikasi dan Multimedia), Datuk Seri Ahmad Hamzah (Pertanian dan Industri Makanan I), dan Datuk Abdul Rahman Mohamad (Pembangunan Luar Bandar I).

Sekali lagi kepentingan rakyat, negara dan masalah COVID-19 dijadikan alasan. Bukankah disebabkan oleh kepentingan peribadi kerana menjadi menteri memperoleh begitu banyak kelebihan?

Sanggupkah kesemua mereka meninggalkan gaji lumayan/banyak kemudahan? Begitu juga dengan pemimpin PAS yang menjadi menteri Kabinet Kerajaan PN.

Lagipun, Hadi sendiri menyatakan PAS hanya menolak Umno, tetapi masih bersama-sama Kerajaan PN.

Bagaimana dikatakan kerana rakyat kerana PAU 2020 lebih membincangkan soal hidup mati parti, dan kemenangan dalam PRU15.

Alasan mesti menang demi membela rakyat tidak boleh diterima lagi kerana Umno sudah ada sejarah buruk, dan ramai memakluminya.

Begitu juga dengan PAS. Mereka menolak Umno bukan kerana parti itu masih ‘main tarik tali’ dengan RUU 355, tetapi demi kelangsungan hidup juga. Lapan ahli mereka berada dalam Kabinet Kerajaan PN.

PAS bersatu dengan Bersatu pula bagaikan sudah lupa atau buat-buat lupa pada kejian dan hinaan Muhyiddin terhadapnya semasa kempen PRU14.

Dari PAS pula yang menjadi menteri ialah Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (Perusahaan Perladangan dan Komoditi), serta Takiyuddin (Jabatan Perdana Menteri – Undang-undang dan Parlimen), dan Tuan Ibrahim (Alam Sekitar dan Air) sendiri.

Yang dilantik sebagai timbalan menteri pula ialah Awang Hashim (Sumber Manusia), Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Ahmad Marzuk Shaary (Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Agama), Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pertanian dan Industri Makanan), dan Ahmad Hashim (Sains, Teknologi dan Inovasi).

Seperti kerancuan dan tidak menentu, Hadi mengatakan pula pada 2 April lalu bahawa PAS boleh bekerjasama dengan Umno asalkan parti itu masih bermatlamat menyatukan umat Islam.

 

RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.