Malaysia Dateline

Kekalahan AKP di Istanbul dijangka cetus perubahan di Turki

Pemerhati poltik Turki menjangkakan kekalahan teruk yang dialami Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) di Turki dalam pilihan raya datuk bandar Istanbul baru-baru ini bakal menjadi pencentus kepada perubahan politik di negara itu khususnya buat AKP yang diterajui Recep Tayyib Erdogan.

Kekalahan calon AKP di Istanbul kepada Ekrem Imamoglu, calon pembangkang dari Parti Rakyat Republikan (CHP), yang memperolehi 54 peratus jumlah undi itu merupakan tamparan hebat buat Erdogan.

Peratusan besar yang diperolehi Imamoglu itu turut dikatakan berpunca kerana pengundi di Istanbul merasakan keputusan mengarahkan pilihan raya Istanbul diadakan semula oleh pihak berkuasa sebagai tidak adil. Malah dikatakan sebahagian pengundi yang pada pilihan raya sebelumnya mengundi calon AKP telah beralih arah mengundi calon CHP akibat rasa tidak adil itu.

Dalam tulisannya di CNBC, pemerhati politik Turki, Holly Ellyatt memetik kenyataan pakar ekonomi global, Cailin Birch sebagai berkata, kekalahan AKP di Istanbul itu bakal membuka ruang ke arah reformasi di Turki.

Ini disebabkan katanya, Istanbul itu merupakan hati buat rakyat Turki dan juga politiknya, walaupun ibu negara Turki adalah Ankara.

Turki mengalami pertumbuhan ekonomi memberangsangkan pada awal pentadbiran Erdogan, namun akhir-akhir ini ia mengalami pertumbuhan tidak menentu, begitu juga dengan politiknya.

Keadaan tidak menentu ini disebabkan beberapa siri kejadian, bermula dengan usaha rampasan kuasa terhadap Erdogan, kritikan terhadapnya yang dianggap bersikap authoritarian dalam menangani kris matawang Turki, Lira dalam 2018, perbalahan terbuka antara Erdogan dengan bank pusat berhubung polisi menangani inflasi yang tinggi, yang kini sekitar 19%.

Selain itu, Turki juga menghadapi tekanan di peringkat antarabangsa, dengan Amerika Syarikat (AS) mengugut akan mengenakan beberapa sekatan ke atas Turki atas keputusan negara itu membeli sistem pertahanan S-400 daripada Russia.

Berasaskan persekitaran tidak menentu, baik di peringkat domestik dan juga antarabangsa ini, banyak pihak di negara itu mengharapkan keputusan pilihan raya datuk bandar di Istanbul itu dapat membuatkan Erdogan segera mengusahakan perubahan pada ekonomi dan juga politik di Turki.

Seorang pakar strategi pasaran, Timothy Ash di Bluebay Asset Management dipetik oleh Holly Ellyatt sebagai berkata, keputusan pilihan raya Istanbul merupakan kemenangan besar buat demokrasi di Turki dan ia barangkali merupakan sesuatu yang sangat baik buat pasaran.

Pilihan raya Istanbul memberikan kesan besar kepada daerah-daerah lain. Dengan kepelbagaian sosial, ekonomi yang dinamik serta jumlah penduduk sekitar 16 juta orang, perjalanan politik Istanbul memberi impak kepada seluruh Turki.

Istanbul merupakan simbol nilai yang penting buat AKP dan juga Erdogan kerana karier politik Erdogan menjadi begitu cerah sewaktu beliau menjadi datuk bandar Istanbul. Justeru, keputusan pilihan raya Istanbul ini menunjukkan perubahan ke arah realiti baharu buat politik Turki.

Buat pertama kali sejak 17 tahun, parti-parti pembangkang Turki berjaya bersatu hati dan menyokong Ekrem Imamoglu, calon parti pembangkang utama CHP dan menang berhadapan dengan AKP.

Kejayaan Imamoglu mengambil alih jawatan datuk bandar Istanbul daripada AKP menunjukkan bahawa Presiden Erdogan dan partinya tidak kebal. Sebelum itu ramai pengulas mengatakan bahawa Erdogan tidak akan membenarkan keputusan pilihan raya Istanbul diumumkan sekiranya parti beliau kalah.

Seorang lagi pemerhati politik Turki, Taha Kolse, berkata, pilihan raya datuk bandar Istanbul memberikan kesan berkekalan pada politik Turki, khususnya terhadap masa depan karier politik Erdogan. Ia bergantung kepada bagaimana respons yang beliau tunjukkan apabila Istanbul diambil alih oleh seorang tokoh politik baharu, Erkrem Imamoglu. Pilihan raya presiden dijadualkan empat tahun lagi.

Kata beliau, jika Erdogan dan partinya melakukan perubahan-perubahan yang wajar, dengan mengadaptasi diri mereka kepada perkembangan politik baharu ini dalam bulan-bulan mendatang, ia boleh dijadikan peluang untuk memperbaharui partinya.

Sekiranya Erdogan dan partinya gagal memberikan reaksi seperti yang diharapkan oleh rakyat Turki, beliau mungkin hilang sokongan yang lebih meluas dalam pilihan raya akan datang.

Dalam tempoh 20 tahun lalu, Erdogan berjaya merubah dan mengadaptasi gaya politik beliau kepada perubahan realiti politik. Justeru, beliau dijangka akan mengambil langkah berani ke arah yang sama selepas kekalahan parti itu di Istanbul.

Yang utama dalam masa terdekat kata pemerhati politik Turki, barangkali mengenai gabungan antara AKP dengan parti Gerakan Nasionalis (MHP) kerana gabungan ini didapati mendatangkan ketegangan buat Erdogan.

Sebagai contoh kata penganalisis Sinan Ulgen, terlalu menekankan soal nasionalisme pada tindak tanduk Turki dalam dasar luarnya adalah hasil daripada kerjasama dengan MHP itu.

Begitu juga dengan pendekatan keras Turki dalam menangani isu Kurdish, sama ada pada peringkat domestik ataupun di Syria.

Dalam masa sama, Imamoglu, Datuk Bandar Istanbul yang baharu itu, akan melakukan yang terbaik untuk menunjukkan kepada rakyat Turki bahawa beliau adalah politik masa depan negara itu.