Malaysia Dateline

Kekalahan di Kimanis: Terus berusaha berikan khidmat terbaik

Pengerusi AMANAH Melaka, Haji Adly Zahari berkata, Warisan dan Pakatan Harapan (PH) harus terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat biarpun PH ditolak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis semalam.

“Sebagai kerajaan, untuk memenangi hati rakyat, keutamaan bukan lagi menimbulkan kebencian kepada seteru politik, tetapi menggunakan semua kuasa dan keupayaan untuk mensejahterakan rakyat,” kata Bendahari AMANAH itu dalam satu kenyataan ringkas semalam.

Dalam PRK yang diadakan semalam, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin, 48, menang dengan majoriti 2,029 undi selepas memperoleh 12,706 undi, manakala pencabarnya Datuk Karim Bujang, 67, daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) meraih 10,677 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Kimanis, [email protected] Etok yang juga Pegawai Daerah Beaufort, di pusat penjumlahan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Hj Mohd Dun Banir pada 9.30 malam.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Adly yang juga Ketua Menteri Melaka mengucapkan terima kasih pada semua petugas PH Melaka yang berusaha membantu calon Warisan dalam PRK tersebut.