Malaysia Dateline

Kekalahan Tanjung Piai dan manifestasi krisis moral

Ketika hidup sebagai orang buangan, pemuisi dan pemikir Itali, Dante menulis Inferno, bahagian pertama dalam karya panjang Divina Commedia. Antara bait yang kerap diulang sehingga hari ini — bahawa tempat terpanas di neraka nanti, adalah buat mereka yang kekal berkecuali saat krisis moral melanda zaman.

Hanya yang buta tidak sedar, bahawa krisis moral sedang menggelegak hari ini. Krisis yang didalangi oleh nafsu politik golongan yang seharusnya dikutuk, bukan disanjung. Kita terperangkap dalam krisis moral ini. Tidak mungkin kita mampu maju ke hadapan selagi ia tidak diurai segera.

Akal waras sekarang adalah kemewahan, bukan lagi naluri umum. Dari utara ke selatan, rentas Laut Cina Selatan — rasional tiada nilai lagi dalam berpolitik.

Selagi pembohongan mendatangkan untung, rasa malu adalah sejarah. Ini kutukan yang menggelapi hari semalam dan akan datang.

Kekalahan di Tanjung Piai adalah manifestasi dari krisis moral ini. Apabila politik dan naratif yang mengelilinginya tidak lagi berpaksi kebenaran, kita menanggung bencana. Dalam zaman pasca-kebenaran ini, bertegang urat membetulkan pandangan ramai tidak akan membuahkan hasil. Naratif tersebar tanpa perlu berpaksikan apa-apa — tidak kebenaran, tidak prinsip, tidak akal budi.

Kita kalah kerana kita lambat menyedari apa yang sedang dilawan kita. Kita tidak melawan Umno-BN-Pas. Mereka sudah lama kita kalahkan. Kita sekarang melawan apa yang mendorong mereka wujud. Kita melawan hukum yang membentuk mereka.

Apa sahaja namanya – konservatif, rasis, fasis, pelampau, jumud, sempit, bebal. Malah mungkin, namanya pun sudah tidak penting lagi. Mereka sendiri tidak pernah peduli.

Yang sedang dilawan kita ini, adalah hukum yang dibaluti pula dengan emosi ciptaan. Ideolog yang bertongkatkan emosi tak berpunca. Ia adalah amarah dan kecelaruan, terlahir dari titik hitam yang tak perlukan alasan pun untuk wujud. Ideolog dan hukum sebegini, adalah krisis moral kita, dan ia telah berjaya mengaburi terlalu banyak mata serta kewarasan.

“Rasuah? Seleweng? Rompak? Tidak pernah berlaku! Fitnah untuk menjatuhkan pemimpin kita! Kalau demi agama dan bangsa, apa salahnya? Ketuanan kita sedang dicabar! Rejim semalam adalah lebih baik! Pendatang mahu tindas kita! Anak bangsa bakal tiada kerja! Negara tergadai, kerajaan tak boleh pakai! Malu apa bossku!?”

Datang dari mana semua ini?

Inilah pasca-kebenaran kita. Inilah krisis moral kita. Kebenaran bukan datang dari perkara benar yang hakiki. Kebenaran datang dari apa yang kita mahu percaya. Moral sebagai seorang warga tidak berpaksikan apa-apa yang benar. Moral adalah perkara yang boleh dilentur mengikut rasa. Inilah yang sedang menjana ideolog dan hukum yang sedang kita lawan. Inilah yang terlambat kita sedari.

Takdirnya, Tanjung Piai yang menyedarkan kita.

Memang, kekalahan semalam, meletihkan. Kemarahan jadi emosi paling mudah terzahir. Tanpa sedar, kita sampai membiarkan angin songsang puak di sana membuai kita. Ada yang memilih jalan keluar paling mudah — bercakaran, saling menuduh seolah selama ini tidak cukup. Sebab itu tulisan ini hadir untuk mengajak semua bertenang. Yang sudah itu sudah.

Kita hanya makin kesuntukan masa. Kalau ada yang perlu dikota, segerakan. Kalau ada yang perlu diubah, percepatkan. Kalau ada yang perlu diganti, permudahkan. Krisis moral ini tidak akan berhenti sendiri. Krisis moral ini perlu dilawan kembali. Jangan pula kita masih mahu berkecuali.