Kekalkan kemerdekaan Malaysia tanggungjawab semua lapisan masyarakat

Oleh MALAYSIADATELINE

Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh.

Bagi menggekalkan kemerdekaan negara satu cabaran yang perlu dipertanggungjawabkan kepada setiap lapisan masyarakat, kataPensyarah Kanan Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) Dr. Sharifah Syahirah Syed Sheikh.

Beliau berkata, walaupun Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke14 pada 9 Mei lalu, tidak bermakna kerajaan semasa perlu menguba polisi dan dasar yang diamalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Dari segi polisi kerajaan  masih tetap sama sama ada diteruskan atau ditambah baik untuk membawa Malaysia
terus maju ke hadapan dari segi sosial, ekonomi mahupun
politik.

“Kerajaan sekarang mengamalkan politik matang, lebih telus serta komited dalam menghapuskan gejala rasuah dan salah guna kuasa, selain lebih bersifat terbuka menerima kritikan berbanding kerajaan yang terdahulu.

“Perlantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia merupakan satu keajaiban, dan beliau amat menegaskan untuk menghapuskan segala bentuk penyelewengan serta pentingnya untuk Malaysia capai status negara maju menjelang tahun 2025,” ujarnya semasa ditemu ramah Malaysia Dateline hari ini.

Beliau diminta pandangan untuk mengulas mengenai kemerdekaan yang akan disambut esok dalam sebuah kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Jelasnya, jika dibandingkan politik di negara lain seperti di timur tengah peralihan kuasa oleh sebuah kepimpinan telah menyebabkan banyak pertumpahan darah, demontrasi berlarutan dan juga beberapa pemimpin yang digulingkan secara paksaan.

“Isu politik di Timur Tengah telah menyebabkan banyaknya pertumpahan darah berlaku dan kita sebagai rakyat yang merdeka bersyukur tidak sampai ke tahap itu ketika peralihan kuasa berlaku.

“Pemimpin-pemimpin di negara kita pandai untuk mengawal segala bentuk insiden yang berbaur keganasan untuk tidak berlanjutan yang boleh menyebabkan perkara tidak diingini yang boleh menjejaskan sistem pentadbiran negara.

“Seperti pada insiden 13 Mei 1969 yang mengorbankan nyawa rakyat Malaysia namun pentadbiran kerajaan masa itu mampu untuk mengawal keadaan dan mengekalkan keamanan dan kedaulatan negara,” katanya.

Menurutnya, semua lapisan masyarakat perlu bekerjasama untuk terus mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia selama 61 tahun ini untuk terus terjamin berkekalan sampai bila-bila.

“Jika dibandingkan pada masa dulu, semangat kemerdekaan pada masa kini semakin pudar, jadi marilah kita bersama sayangi Malaysia untuk diri sendiri, keluarga dan bangsa,” katanya.