Malaysia Dateline

Kekalkan kepimpinan, tak mahu perjuangan terhenti tengah jalan

Pengekalan lima menteri dalam Pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) Nasional merupakan keputusan sebulat suara ahli jawatankuasa sayap parti itu.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Khalid Samad berkata, ini kerana mereka tidak mahu perubahan saf kepimpinan yang dilakukan di tengah perjalanan mereka akan menyekat pergerakan parti itu.

“Kita tak nak tukar pimpinan ditengah-tengah perjalanan.

“Tak ada masalah dengan saf kepimpinan yang lama dan saya rasa dalam perbincangan semalam, semua secara sebulat suara bersetuju kekalkan dan kita terus memberikan yang terbaik untuk mempertingkatkan lagi parti Amanah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis Konvensyen Nasional 2019, Parti Amanah Negara (AMANAH), di Pusat Konvensyen (IDCC), Shah Alam.

Terdahulu, keputusan pemilihan AJK Pimpinan AMANAH Nasional menyaksikan Menteri dan Timbalan Menteri parti menduduki 10 kedudukan teratas pilihan perwakilan.

Paling tinggi, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad merangkap Menteri Wilayah Persekutuan yang meraih 786 undi.

Tempat kedua ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar merangkap Timbalan Menteri Sumber Manusia dengan memungut 780 undi.

Seterusnya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dengan mengutip 765 undi.

Ia diikuti dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang memperoleh 755 undi dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dengan pungutan 687 undi.