Malaysia Dateline

Kekalkan Mahathir sebagai PM, perlu jadi konsensus baharu PH

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri, berpendapat mengekalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri seharusnya menjadi konsensus baharu untuk Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, kenyataan Datuk Seri Azmin Ali hari ini yang turut mahu Dr Mahathir dikekalkan sebagai Perdana Menteri sehingga berakhir penggal adalah perkembangan yang amat positif.

Datuk Khairuddin Aman Razali

Menurutnya, sekiranya Timbalan Presiden PKR itu sendiri mengakui kewajaran untuk mengekalkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, maka PH selaku teraju kerajaan semasa seharusnya mempunyai konsensus baharu mengenai perkara itu.

“Sebelum ini, konsensus PH mengatakan bahawa peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM perlu berlaku dalam tempoh dua tahun.

“Konsensus itu telah menyebabkan pemimpin kerajaan dan PH tidak berani untuk memberikan sokongan kepada Dr Mahathir supaya terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum berikutnya.

“Sesungguhnya sokongan semua parti terhadap Dr Mahathir dan pengekalan beliau sebagai Perdana Menteri sehingga berakhir penggal adalah amat penting bagi menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara,”katanya melalui kenyataan yang dimuatnaik di Facebook.

Jelasnya, jika gabungan pembangkang boleh memberikan sokongan kepada Dr Mahathir, PH lebih-lebih lagi sepatutnya berjiwa besar dan bersikap objektif mengenainya.