Malaysia Dateline

Kekalkan perpaduan dan keharmonian, kata Abang Johari

Seluruh anak Sarawak yang terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan, pegangan agama dan fahaman politik harus bersama-sama berusaha mengekalkan perpaduan dan keharmonian di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, tiada yang lebih indah, melainkan kebahagiaan, kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negeri Sarawak untuk dinikmati oleh semua anak Sarawak dan seluruh rakyat Malaysia umumnya.

“Marilah kita sama-sama merayakan hari yang mulia ini dengan semangat muhibbah dan persaudaraan antara sesama manusia tanpa mengira perbezaan agama dan keturunan.

“Saling menghormati pegangan agama dan budaya masing-masing. Sesungguhnya Islam adalah agama fitrah, dengan keseluruhan ajarannya bermatlamatkan menjaga kemuliaan insan sebagai manifestasi keagungan dan kebesaran Allah S.W.T.,” katanya dalam perutusan hari raya di sini, hari ini.

Abang Johari berkata amalan kunjung-mengunjung perlu diteruskan supaya hari raya menjadi lebih bermakna.

“Sebagai umat Islam, kita merayakan hari raya dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan sebagai tanda kemenangan mengharungi pelbagai dugaan selama sebulan dalam bulan Ramadan.

“Semoga kita semua dapat menghayati Ramadan tahun ini dengan sebaik-baiknya demi meningkatkan kualiti kehidupan ke arah yang lebih bermakna pada masa akan datang,” katanya.

Tahun ini, Abang Johari serta isteri, Datin Patinggi Juma’ani Tuanku Bujang akan mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada hari raya pertama dan kedua dari pukul 10 pagi hingga 4 petang.– BERNAMA