Malaysia Dateline

Kekalkan perpaduan di Sarawak, kata Tun Taib

Rakyat di Sarawak diseru untuk memperkukuhkan hubungan serta perpaduan antara satu sama lain.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam perutusannya sempena Hari Krismas dan Tahun Baharu 2020 berkata, negeri ini mempunyai masa depan yang cerah pada masa datang.

Katanya, rakyat harus mengekalkan perpaduan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama.

“Kita harus berbangga dengan cara kita yang dapat mengekalkan hubungan serta kerjasama baik antara kaum di negeri ini.

“Malah kerjasama ini semakin baik dan kukuh dalam pembangunan perniagaan,” katanya.

Tambah Taib, beliau melihat Sarawak telah mencapai banyak kemajuan dalam membangunkan ekonomi negeri serta rakyatnya.

Malah, beliau juga melihat pertumbuhan Sarawak kini lebih terarah di Utara dan Selatan dengan Kuching kekal sebagai pusat aktiviti ekonomi popular.

“Bahagian Utara akan menggunakan keuntungan di Bintulu bagi pembangunan di seluruh negeri.

“Tetapi impak utama adalah pembangunan pekan kecil dan sekitarnya,” ujarnya.

Taib dalam pada itu berharap sektor swasta akan membantu menghidupkan tempat-tempat seperti Lawas, Miri dan Bintulu serta kawasan lain seperti Lubok Antu dan Matu Daro.

Sempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas serta Tahun Baharu 2020, Taib mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya rakyat Sarawak.

Beliau turut berharap semua rakyat akan bergembira menyambut perayaan ini dan menjadikannya lebih bermakna.