Kekalkan perpaduan tanpa ada golongan terpinggir, kata Mohamad

Oleh MALAYSIADATELINE

Presiden AMANAH Mohamad Sabu menyeru rakyat Malaysia untuk terus mengekalkan semangat perpaduan antara kaum tanpa membiarkan mana-mana pihak dipinggirkan.

Beliau berkata, perkara itu hanya boleh dicapai jika semua pihak menolak sebarang bentuk permainan politik perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.

Beliau dengan itu berharap agar semua pihak untuk tidak terus bermain dengan isu perkauman demi menjamin keamanan hidup masyarakat majmuk.

“Dalam Pakatan Harapan (PH) kita layan semua kaum dan semua agama sama rata. Kita tak memperjuangkan hanya satu kaum sahaja.

“Bagi kita ini hidup rakyat Malaysia. Sebab itu lah kita amalkan hormat-menghormati agama setiap kaum dalam negara.Kita hormati kaum lain dan kita berlumba-lumba melakukan kebaikan

“Jangan mainkan lagi isu perkauman. Hari ini kita maki Cina India, mereka pun boleh maki kita semulaKalau hidup begitu, kita tak akan aman,” katanya selepas merasmikan program penyampaian Sumbangan Deepavali anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Raja, hari ini.

Mohamad Sabu bergambar kenangan bersama pihak penaja dan penerima bantuan Deepavali di Parlimen Kota Raja hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Kota Raja yang juga Menteri Pertahanan  ini lagi, perkembangan ekonomi negara yang semakin pulih dengan penyatuan semua kaum dalam negara sekaligus akan memberi peluang untuk kerajaan mengagihkan peruntukan yang lebih berpatutan kepada yang memerlukan.

Mulai hari ini, segala kekurangan kita tambah. Jika peruntukan tak cukup hari ini, kita akan cuba tahun depan. kita galakkan lagi ekonomi negara supaya terus berkembang,” katanya.

Dalam majlis diadakan itu jumlah keseluruhan penerima sumbangan Deepavali adalah seramai 130 orang yang disumbangkan oleh tiga pertubuhan terdiri dari Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Kebajikan Amal Institusi Harapan Kaseh Malaysia (Kasih), dan Pusat khidmat Rakyat Parlimen Kota Raja.

Pelbagai golongan masyarakat yang hadir di Pusat Khidmat Parlimen Kota Raja dalam majlis yang diadakan hari ini.