Malaysia Dateline

Kekalkan prinsip keadilan, kesetiaan berbanding khianat ahli, tinggalkan perjuangan parti

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendirian untuk kekal mempertahankan prinsip keadilan disebalik pengkhianatan yang dilakukan segelintir ahlinya yang meninggalkan perjuangan parti.

Anwar menegaskan, PKR terus berpegang pada prinsip kesetiaan biarpun diberi peluang untuk bersekongkol dengan mereka yang dikatakan sebagai kelompok yang merosakkan negara.

“Saya jelaskan bahawa kita telah mengambil jalan yang tegas mengikut landasan perjuangan kita.

“Kita diberi peluang untuk bersekongkol dengan kelompok lama yang telah merosakkan negara kita.

“Kita memilih untuk kekal dengan prinsip. Yang meninggalkan kita, (telah) mengkhianati amanah perjuangan kita,” katanya dalam satu video yanh dimuatnaik di Facebooknya hari ini.

Dalam rakaman video itu juga, Anwar berkata dari awal beliau telah menghidu segala perancangan yang akan mengkhianati perjuangan yang menyebabkan beliau tidak berkompromi dengan mereka yang mengkhianat.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, landasan PKR adalah keadilan dan dengan itu mereka menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Kedua, pegangan Islam dan Melayu tidak di pertikaikan yang menjadi asas di negara kita. Kita adalah negara yang mesti merangkul semua kaum dan agama.

“Ketiga, ekonomi kita ini tidak harus menghalalkan rompakan oleh segelintir penguasa. Untuk memastikan ekonomi dipacu dengan lebih laju dan meyakinkan, kita perlu menjamin pengagihan yang adil dan saksama.

“Kita tidak boleh izinkan kekayaan negara ini terus dirompak oleh segelintir kecil (perasuah),” katanya.

Episod perpecahan dan pergolakan politik berlaku selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan juga Pengerusi Bersatu.

Kemelut yang berlaku selama seminggu itu menyaksikan tindakan pemecatan dua orang pimpinan tertinggi PKR, bekas Timbalan Presiden, Azmin Ali dan bekas Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin.

Pada masa sama, 9 anggota parlimen PKR yang lain turut mengumumkan keluar parti.

Bersatu juga dikatakan berpecah kepada dua kem yang menyokong Pengerusinya, Dr Mahathir dan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 29 Februari, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri baru. Beliau mengangkat sumpah sehari kemudian.

Ia selepas dipercayai Muhyiddin mendapat sokongan anggota parlimen Bersatu, Umno, PAS, kem Azmin dan Gabungan Parti Sarawak (GPS)