Malaysia Dateline

Kekalkan semangat menghormati, toleransi antara kaum, kata Mohd Shafie

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menggesa rakyat supaya terus memupuk sekali gus mengekalkan budaya hormat menghormati serta semangat toleransi tinggi antara satu sama lain bagi memperkukuhkan lagi perpaduan kaum yang sedia terjalin.

Beliau berkata ini penting dalam membolehkan rakyat khususnya di Sabah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, budaya dan agama menyambut pelbagai perayaan dalam suasana muhibbah dan harmoni.

“Hari ini, rakyat daripada pelbagai anutan sekali lagi mengucap selamat, bukan sahaja dalam kalangan keluarga tetapi juga sahabat dan rakan taulan beragama Kristian. Meraikan apa juga perayaan adalah cara dan budaya kita di Sabah yang penuh dengan kesepakatan dan semangat muhibah.

“Kita sentiasa bersedia menerima, menghargai kepelbagaian antara satu sama lain serta menghormati keunikan adat dan budaya sehingga menjadikan perayaan Krismas lebih bermakna,” katanya dalam perutusan Hari Krismas.

Mohd Shafie juga menggesa rakyat Sabah untuk terus bersatu padu kerana kesatuan dalam kepelbagaian di negeri ini menjadi kekuatan dalam memastikan pembangunan mampan dapat dilakukan secara bersama.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mewujudkan kebencian serta rasa tidak percaya kepada kerajaan kerana ia boleh menjejaskan pembangunan dan kemajuan dikecapi kini.

“Adalah menjadi hasrat saya untuk melihat rakyat Malaysia di Sabah terus kukuh dan bersatu padu terutama dalam menghadapi apa juga cabaran dan rintangan,” jelasnya.

Mohd Shafie berkata pengisytiharan penambahan cuti umum satu hari untuk perayaan Krismas di Sabah mulai tahun ini adalah hadiah Krismas 2019 daripada kerajaan negeri kepada semua rakyat Sabah.

“Ini menjadikan cuti Krismas (di Sabah) selama dua hari iaitu pada 24 dan 25 Dis. Sesungguhnya, kerajaan negeri prihatin serta mengambil berat terhadap semua bangsa dan kaum di Sabah, dan pemberian cuti tambahan ini adalah sebagai pengiktirafan sewajarnya buat masyarakat Kristian.

“Bagi pihak kerajaan negeri, isteri dan keluarga, saya ingin mengucapkan selamat Hari Krismas kepada rakan-rakan beragama Kristian di seluruh Sabah,” katanya.– BERNAMA