Malaysia Dateline

Kekanda Adinda: Murninya bahasa Melayu

Sangat menarik melihat reaksi beberapa pihak mengenai panggilan ‘Adinda’ oleh Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf Rawa kepada Nurul Izzah Anwar baru-baru ini.

Reaksi sesetengaah pihak itu ternyata menggambarkan kejahilan memahami bahasa Melayu itu sendiri, terutamanya bahasa persuratan Melayu yang tinggi dan berseni. Adinda, Kekanda bukan semata-mata dilatari oleh unsur romantis, tetapi ia lebih kepada unsur keakraban.

Sebab itu kesusasteraan Melayu klasik banyak terdapat perkataan ini. Malah, banyak juga kiasan dan sindiran menggunakan perkataan tersebut.

Perkataan kanda, adinda banyak digunakan dalam sastera Melayu lama, terutama dalam buku-buku hikayat Melayu klasik seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Malim Deman, Hikayat Anggun Cik Tunggak, Hikayat Meminang Puteri Gunung Ledang, Wan Empok Wan Malini, puteri cantik dari Bukit Siguntang, Hikayat Musang Berjanggut (Sudah difilemkan oleh P. Ramlee). Bahkan terdapat panggilan adinda, kanda dalam filem klasik P. Ramlee seperti Damak, Semerah Padi, Hang Tuah dan lain-lain.

Sudah lama wujud dan digunakan perkataan Melayu klasik ini terutama dalam surat kiriman orang Melayu zaman dahulu. Ia bahasa Melayu halus, penuh indah dan berseni. Namun ia tertimbus oleh keadaan situasi bahasa Melayu masa kini dan kejahilan orang Melayu sendiri dalam ilmu bahasa Melayu.

Dalam hal ini Dr. Mujahid cuba mengenengahkan bahasa puitis Melayu ini. Bahkan dengan isteri saya sendiri dia menggunakan perkataan ‘Bonda’, ‘Apa kabar bonda’, ketika bertemu, menunjukkan keakraban kami.

Dr. Mujahid mempuyai keistimewaan. Selain menguasai bahasa Inggeris, beliau juga menguasai bahasa Arab, malah sedikit-sedikit bahasa Parsi. Beliu pemimpin yang menguasai bahasa Melayu dengan baik dan cuba mengenengahkan ketinggian bahasa kesusasteraan Melayu.

Jarang-jarang kita bertemu denggan pemimpin seperti ini. Suratnya dari Cordova kepada Nurul Ezzah, hanya meminta Nurul Ezzah meneruskan perjuangan, jangan mengundur diri. Kerana Nurul Ezzah, tokoh berwibawa. Itu saja. Kedua-dua mereka juga anak dari pemimpin besar.

Kepada yang memahami bahasa Melayu secara mendalam, maka perkataan ‘Adinda’, ‘Kanda’ tidak semestinya dilatari unsur-unsur negatif, kecuali mereka yang jahil menguasai bahasa Melayu dengan mendalam.

Kita gembira dengan sikap positif Dr. Mujahid bahawa ia gembira dengan reaksi sesetengah pihak terhadap panggilan ‘Adinda’ terhadap Nurul Izzah.

Dr Mujahid dalam reaksinya mengucapkan terima kasih kepada rakyat negara ini yang memberikan pandangan ke atas warkah terbukanya kepada naib presiden PKR itu.

Beliau berasa seronok membaca komen yang berkisar tentang warkahnya itu.

“Saya sengaja memilih lenggok bahasa begitu untuk menyampaikan mesej saya kali ini. Ternyata istilah kekanda dan adinda lebih menarik perhatian semua. Terima kasih atas teguran semua,” ujarnya dalam kenyataan itu.