Malaysia Dateline

Husam Musa

Hutang belum berbayar, pemilik syarikat balak iringi TMB Kelantan ke China

Dalam kenyataannya hari ini Husam mendakwa RE pada 2014 telah mendapat projek Kompartment 42 yang diberikan kerajaan negeri kepada KPK untuk diuruskan.

“Kompartmen 42 adalah kawasan hutan dara dengan keluasan 292 ha dan diberikan kepada Roshaimi Ent hanya dengan harga RM 1,800 seekar.

“Diluluskan oleh KPK kepada RE pada 1 Disember 2014 dan terus disahkan dipersetujui oleh RE keesokan harinya.

“Lebih pelik lagi, semua bayaran tribute dan premium telah dibayar sebagai pendahuluan oleh KPK sendiri. Satu tanda murah hati yang menarik. Bayaran balik sejumlah RM 582,572.00 pun belum diterima.

“Kompartmen ini asalnya dicadangkan dimasukkan dalam senarai yang akan diserahkan kepada Souncern tetapi diberikan kepada Roshaimi. Sudah tentu, tanpa tender terbuka.Bah kan, tanpa ikatan perjanjian,” ujarnya.

Menurut Adun Salor ini lagi, menerusi laporan audit Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) memaklumkan bahawa:”“Pada pandangan audit, KPK telah gagal menguruskan Syarikat Roshaimi Ent iaitu gagal memungut sepenuhnya bayaran yang sepatutnya. Ia menimbulkan kesulitan kerana tiada suatu perjanjian /kontrak termetrai antara syarikat ini dan KPK bagi Kompartmen 42”.

“Lawatan ini, saya kira, adalah lawatan Kompleks Perkayuan Berhad (KPK) berdasarkan anggota rombongan adalah ahli Lembaga Pengarah KPK dan hampir semua staf KPK yang tinggal sejemput sahaja itu.

Laporan Audit Dalam SUK ke atas KPK – yang akhirnya diakui wujud oleh MB ketika mencelah perbahasan antara saya dan YB Zul pada sidang media 13hb lalu menyebut bahawa RE gagal membayar sejumlah besar bayaran kepada KPK atas Kompartmen 42 yang diberikan oleh KPK kepada mereka.

“Ketika RE mendapat layanan istimewa oleh KPK bagi Kompartmen 42 dan bayaran penuh belum dibuat oleh RE, dua orang pemilik Roshaimi Ent mengiringi rombongan TMB-KPK ke Cina itu,” ujarnya yang mempersolakan kenapa RE dibenarkan mengikuti rombongan tersebut.

Sambung Husam lagi,” Kenapa diizin ikut serta sebelum hutang dibayar selepas bertahun-tahun?

“Apa projek perhutanan yang baru di bawah KPK yang dirancang dengan mereka?Jika tidak ada kepentingan dan keperluan, mengapa mereka ikut bersama?Siapa membiayai lawatan ini?

“Hakikatnya, sebelum hutang-hutang RE diselesaikan, KPK atau mana-mana pemimpin Kerajaan Kelantan tidak layak untuk berurusan dengan RE bagi projek yang lain di bawah KPK.

“KPK adalah milik rakyat Kelantan, bukan milik dua tiga kerat individu. Namun, setakat ini, cara KPK diuruskan adalah menunjukkan seakan KPK hanya milik dua tiga individu yang bermaharaja lela atas kekayaan hutan KPK. Kerana ketiadaan ketelusan dan ketiadaan tekanan politik yang berkesan,” jelasnya.

Justeru Husam berkata, beliau telah melaksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat yang dipilih, meski pun, pada hari ini ujarnya, mungkin tidak ramai rakyat Kelantan berminat dengan perompakan halus khazanah kekayaan negeri mereka.

“Tetapi apakan daya, ini adalah amanah Allah untuk hambaNya berbuat mengikut keupayaannya. Menegur apa yang pincang berdasarkan fakta dan bukti-bukti untuk kemaslahatan awam yang menjadi teras governance,” ujarnya.

Menurut Husam lagi, sebaik selesai sidang Dun Kelantan pada 12 Julai lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bersama 21 orang lagi telah bergegas ke Nanning, Wilayah Guangxi China keesokannya pada 13 Julai.

Lawatan rasmi satu hari mereka di Nannning berlangsung pada 14 Julai dan kembali ke tanahair pada 17 Julai.