Malaysia Dateline

Kekayaan tidak harus berlegar pada kelompok elit, tegas Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kemakmuran negara harus diagihkan kepada segenap lapisan rakyat tanpa dimonopoli mana-mana kelompok.

Presiden PKR itu berkata hal tersebut akan diperincikan dalam tazkirah khasnya jam 9 malam ini menerusi Facebook (FB) rasmi Anwar Ibrahim.

“Saya akan mengulas soal ekonomi, urus tadbir perbankan Islam serta perintah al Quran terkait soal kekayaan yang tidak harus berlegar hanya pada kelompok elit namun harus dikongsi dan diagihkan kepada rakyat.

“Insyallah, kita jumpa malam ini,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Pemberitahuan Anwar  ketika umat Islam berada pada 22 Syawal hari ini mendapat pelbagai reaksi warganet.

Antaranya, Abdul Aziz Mohd Yusof yang mendoakan Anwar meneruskan perjuangan dan dipermudah segala urusan.

Sementara itu, pengguna FB, Kusairi Aziz menulis, “Alangkah indahnya hal ini dibincangkan ketika PH (Pakatan Harapan) menjadi kerajaan.”

Anwar sebelum ini mendesak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan penjelasan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung jumlah hartanya yang mencecah ratusan juta ringgit.

Tegas Anwar, jika benar Perdana Menteri berikrar untuk membersihkan jentera kerajaan, beliau harus meminta penjelasan daripada Bendahari Agung Umno itu.

Pada 4 Mac lalu, Tengku Adnan mengesahkan kepada Mahkamah Tinggi jumlah hartanya pada 2001 lalu mencecah lebih RM900 juta.

Ketika prosiding bela diri bagi kes rasuah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, Tengku Adnan berkata, nilai hartanya pada tahun berkenaan adalah sebanyak RM938,643,566.16 manakala pada 2006 (RM711,325,822), 2013 (RM691,770,649) dan 2016 (RM782,748,061).

Tengku Adnan turut dilihat gagal mengawal perasaannya dalam prosiding membela diri yang masuk hari ketiga bagi kes rasuahnya, apabila mendakwa pihak pendakwaan sengaja ingin menjejaskan reputasinya.

Bahkan, Tengku Adnan menegaskan bahawa jumlah RM2 juta yang diberikan oleh Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong ialah derma politik untuk Umno Wilayah Persekutuan.

Tengku Adnan berkata, jumlah itu adalah tidak terlalu besar buat beliau sebaliknya hanya sekadar duit poket.

Dalam masa sama, jumlah kekayaan 10 individu terkaya di negara ini sahaja mencecah AS$79 bilion.

Ahli Ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid sebelum ini pernah menegaskan jurang ketidaksamarataan ekonomi rakyat Malaysia semakin ketara antara golongan berpendapatan rendah dan tinggi.

Beliau dalam bukunya, ‘The Colour Of Inequality’ antara lain memberitahu lebih 53 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai apa-apa aset kewangan manakala 80 peratus rakyat yang berpendapatan rendah pula cuma memiliki hanya 5.5 peratus dari aset kewangan negara.

Selanjutnya, pada 18 Oktober 2018, Muhammed mengingatkan ekonomi sesebuah negara tidak dapat pulih dengan pantas daripada krisis jika wujud ketidakseimbangan dan jurang antara golongan kaya dan miskin yang besar.