Malaysia Dateline

Kekecewaan Makcik Kiah

Sejak pengumuman Pakej Ransangan Ekonomi oleh Perdana Menteri pada minggu lepas, nama Makcik Kiah mula menjadi sebutan ramai apabila Muhyiddin menggunakan nama Makcik Kiah sebagai lambang yang mewakili rakyat khusus yang memerlukan bantuan.

Nama Makcik Kiah menjadi ‘trending’ di mana-mana media sosial dengan kononnya Makcik Kiah yang sebelum ini merupakan peniaga pisang goreng akan menjadi senang dengan inisiatif dari Kerajaan Pakatan Nasional melalui pakej ransangan ekonomi.

Makcik Kiah mewakili golongan B40 yang paling terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan virus Covid-19 ini. Beliau merupakan golongan yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang; pasangan suami isteri yang mengharapkan pendapatan harian untuk kelangsungan hidup. Golongan yang belum tentu ada wang simpanan untuk waktu-waktu kecemasan seperti ini.

Pakej Ransangan Ekonomi yang diumumkan Muhyiddin yang berjumlah RM250 bilion adalah merupakan pakej ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan China, diikuti oleh Kanada, Australia, Eropah dan Singapura. Persoalannya, benarkah Malaysia betul-betul mempunyai kedudukan kewangan yang sangat kukuh pada masa ini?

Sejurus selepas pengumuman ini, ramai rakyat Malaysia yang menadah tangan tanda syukur atas bantuan dan inisiatif tersebut. Ada di antara mereka yang menarik nafas lega apabila membayangkan duit syiling yang tinggal dalam tabung bakal bertambah tidak lama lagi.

Walaupun jumlahnya tidaklah banyak mana, tetapi untuk golongan yang sememangnya ‘patah kaki’ disebabkan PKP ini, tiada apa yang dapat diungkapkan selain dari kata syukur kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Masing-masing sudah mula berkira-kira untuk menggunakan wang tersebut untuk membeli barang keperluan harian yang sudah habis, ada juga yang berharap dengan wang tersebut, dapatlah mereka merasa makanan yang sedap sikit dari hari-hari biasa yang selalunya makan nasi lauk telur goreng.

Namun selepas beberapa hari pengumuman dibuat, kekecewaaan ternyata terpancar di raut wajah Makcik Kiah dan rakan-rakannya yang datang daripada golongan B40 dan sangat mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan bagi kelangsungan hidup menjalani PKP yang masih berbaki dua minggu ini. Itupun jika PKP ini tidak dilanjutkan lagi.

Golongan ini sangat memerlukan duit secepat mungkin dan bukannnya seminggu lagi apatah lagi disuruh menunggu sebulan lagi iaitu pada hujung bulan April dan Mei.

Tujuan bantuan diberikan adalah untuk membantu mereka yang hilang sumber pendapatan harian disebabkan PKP, tetapi mengapa kerajaan PN memilih untuk menyalurkan bantuan pertama pada hujung April? Adakah golongan ini perlu berpuasa selama sebulan sehingga bantuan tiba?

Jika kerajaan yakin mempunyai dana yang cukup mengapa pula pembayaran diberi secara berperingkat-peringkat? Bayaran pertama pada hujung bulan April sedangkan umat Islam akan mula berpuasa 24 April. Bayaran kedua pula pada bulan Mei, adakah selepas Hari Raya Aidilfitri?

Mungkin pihak kerajaan menggunakan alasan bahawa mereka memerlukan masa untuk menyenaraikan penerima bantuan yang layak, tetapi bukankah kerajaan sudah ada data penerima bantuan BSH yang sememangnya layak menerima Bantuan Prihatin Nasional ini?

Lagi menambah kekecewaan Makcik Kiah dan rakan-rakannya apabila mendapati mereka tertipu dengan nombor yang diumumkan oleh Perdana Menteri yang mereka sanjung tinggi.

A Kadir Jasin dalam tulisannya bertajuk “Pakej Kiah Tertipu” mengemukakan secara terperinci dan mudah difahami rakyat bahawa jumlah sebenar yang Makcik Kiah jimat hanyalah RM864 dan bukannya seperti yang dicanang Muhyiddin iaitu sebanyak RM4,464.

Perkara ini turut disahkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga turut terlibat dalam penyediaan pakej tersebut.

Pengesahan dan pengakuan oleh Menteri Kewangan ini sememangnya mengejutkan rakyat Malaysia. Menjadi tanda tanya mengapa kerajaan PN perlu memanipulasi nombor dalam pengumuman tersebut?

Kekecewaan yang berganda ini mungkin akan menghancurkan Kerajaan PN pada PRU-15 yang akan datang. Diharapkan Makcik Kiah tidak menghasut rakan-rakannya untuk menterjemahkan kekecewaan mereka dalam pilihanraya yang akan datang.

———————

* Camelia K adalah pemerhati isu-isu semasa tanah air.