Dalam satu tulisan yang bertajuk ‘PKR lawan al-Quran’, Tan Sri Hj. Abdul Hadi Awang berkata para ulama mentafsirkan perkataan خليفة dlm al-Baqarah ayat 30: (Ingatlah ketika Tuhanmu berkata kpd para malaikat “sesungguhnya Aku menjadikan khalifah di muka bumi…”) sebagai siasah (politik).
Saya cuba mencari kitab tafsir manakah yg dirujuk Abdul Hadi, kerana beliau tidak memberikan rujukan untuk dakwaan tafsir begitu. Apabila beliau mengatakan para ulama, bermaksud ramailah ulama mentafsirkan perkataan khalifah iu sebagai siasah.
Saya membaca rujukan turath /klasik Tafsir al-Quran al-‘Adzim Ibn Kathir dan rujukan moden al-Tafsir al-Munir Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaily.
Kedua-dua rujukan tafsir itu dianggap antara ensiklopedia tafsir yang terbesar, selain Tafsir al-Tabari. Sesiapa yang membaca Tafsir Ibn Kathir sudah memadai dan tak perlu lagi mencari dalam al-Tabari. Apa yang sahih dalam al-Tabari pasti ada dlm Tafsir Ibn Kathir selalunya.
Kitab al-Tafsir al-Munir pula merupakan tapisan kepada ilmu tafsir daripada puluhan (kalau tidak ratusan) kitab tafsir yang dirujuk oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaily.
Setelah menukilkan banyak pendapat ulama tafsir zaman Sahabah dan Tabi’in, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaily menyimpulkan dlm Al-Tafsir al-Munir, “ada 2 tafsiran bagi perkataan khalifah itu, iaitu Nabi Adam ataupun anak keturunan Adam a.s.”
Tiada seorang ulama tafsir pun yang menyebutkan tafsiran khalifah itu siasah. Saya percaya, kalau ada tafsiran begitu, ia adalah tafsiran syaz / janggal yang tidak harus diikuti. Mungkinkah Abdul Hadi merujuk tafsir Syiah?
Ayat itu adalah dalil pertama Abdul Hadi untuk menghukum PKR sebagai melawan al-Quran. Ia adalah dalil yang didalihkan Abdul Hadi, bukan dalil sahih.
Ayat-ayat lain yang dibawakan Abdul Hadi tiada wajh istidlal yang boleh diambil untuk mensabitkan PKR sebagai melawan al-Quran. Semua ayat itu berkisar tentang nabi-nabi terdahulu menjadi pemerintah atau terlibat dengan politik di zaman mereka. Namun tiada bukti ahli PKR menolak kisah2 nabi terdahulu yang menjadi raja atau pemerintah di zaman itu.
PKR dan parti-parti lain dalam kerajaan perpaduan hanya menolak sikap Pas yang menunggang dalil sesuka hati (seperti tunggangan yang dibuat Abdul Hadi terhadap ayat 30 surah al-Baqarah itu), bukan menolak atau memisahkan politik daripada ajaran Islam.
Itu adalah kekeliruan pertama Abdul Hadi.
Kekeliruan kedua Abdul Hadi dalam tulisan yang sama ialah dakwaannya raja atau sultan tidak dibenarkan berpolitik berdasarkan sistem warisan penjajah.
Dakwaan ini agak dangkal. Secara hakikatnya raja atau sultan juga memainkan peranan mereka dalam politik, seperti menasihat dan memperkenankan pembentukan kerajaan perpaduan gabungan PH BN GPS GRS.
Kerana raja atau sultan memainkan peranan dalam politiklah maka Abdul Hadi pernah mengkritik raja sebagai melambat-lambatkan penamatan permainan untuk memberi kemenangan kepada pihak yang kalah.
Kritikan yang berupa sindiran itu dibuat Abdul Hadi sebagai membantah peluang yang diberikan YD Agong kepada PH untuk mendapat sokongan setelah Tuanku tidak berpuas hati dengan Statutory Declaration yang dibawa PN.
Rupanya Abdul Hadi keliru dan tidak dapat membezakan di antara politik pemerintahan dan politik kepartian.
Raja atau sultan tidak terlibat dalam politik kepartian, tetapi terlibat dalam politik pemerintah di peringkat pembentukan kerajaan, pengisytiharan darurat, hubungan kerajaan dengan kerajaan dalam bentuk lawatan negara, titah ucapan pembukaan mesyuarat Dewan Rakyat dan lain-lain lagi.
Jangan difikir tuan guru alim dan mahir semua perkara. Bahkan dalam bidang siasah pun, walaupun tuan guru dikatakan berkelulusan siyasah syar’iyah / politik Islam, tuan guru tidak mengemas kini ilmunya.
Cukup-cukuplah kita menjadi taksub pada seorang guru. Ia merugikan kita.
Sumber : Abu Mishkat
Baca juga: Mahu keluar duit KWSP untuk barang sekolah, warganet persoal mana hilang duit bantuan RM150