Malaysia Dateline

Kekuatan-kekuatan kebisingan dan hukuman ke atas Najib

ISMAIL HASHIM YAHAYA

Teriakan mendesing, suara serak, hujatan hiruk-pikuk penyokong mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membanjiri perkarangan kompleks mahkamah memberikan sokongan terhadap beliau yang berhadapan dengan keputusan mahkamah

Kebisingan ini berdesir lagi selepas dijatuhkan hukuman bersalah kerana penyokong Najib berang dan tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

Salah seorang penyokong yang mendakwa ahli Umno, berkata Najib telah difitnah dan dianiaya mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tegasnya, Mahathir jangan ingat kuasa di tangan, beliau boleh membuat sewenang-wenangnya tanpa mengikut perlembagaan dan perundangan negara. Lebih menarik lagi beliau juga mendesak agar Umno berani untuk keluar daripada Perikatan Nasional.

“Hari ini selaku ahli parti Umno yang mendokong Barisan Nasional mendesak Presiden Umno mengarahkan semua ahli parlimen BN keluar daripada Perikatan Nasional,” katanya seperti yang dipetik daripada video yang disiarkan oleh Johor Kini.

Individu itu juga menggelar Perdana Menteri, Dato’ Seri Muhyiddin Yassin sebagai pengkhianat dan mencabar pemimpin itu berjumpa dengan beliau.

“Saya berani cabar Muhyidddin jumpa saya. Saya kenal siapa muhyiddin.

Suara-suara bising ini dan menjerit di samudera luas ini akan mengemukakan kesan kepada tubuh politik negara terutamanya parti-parti politik.

Kebisingan pertama penyokong ini boleh diterjemahkan sebagai teriakan, hujatan, pekikan seperti kehadiran di perkarangan kompleks mahkamah, kebisingan kedua, boleh saja dalam bentuk visual seperti video atau kamera yang dipertontonkan dan kebisingan ketiga perkataan, ayat yang boleh menaikkan semangat, fitnah, emosi, propaganda, manipulasi, dan seumpamanya.

Kebisingan ini boleh menggegarkan negara, bagaikan koir menggema bersahutan di bandar dan desa, viral dari satu media sosial dari satu media sosial. Kebisingan ini oleh suara-suara parau, jeritan, teriakan sama ada di dunia fizikal atau siber boleh mencetuskan chaos, haru biru.

Tetapi sejauh manakah kebisingan bantahan kesalahan Najib boleh mencetuskan haru biru dalam politik nasional bergantung kepada beberapa kekuatan.

Pertama, kekuatan kebisingan ledakan luar – umpama kebisingan seperti mencetuskan haru biru suara-suara menyatukan ahli UMNO ke arah menuntut keadilan atau seperti di atas UMNO keluar daripada Perikatan Nasional (PN) misalnya. Ia boleh menggerakkan pameran kebisingan dengan gerakan sokongan ke atas Najib atau mengerakkan demonstrasi jalanan yang mampu menuju ke arah separatisme, kekuatan disintergrasi, pepecahan kekuatan UMNO keluar PN.

Sejauh manakah kekuatan luaran dapat memainakan peranan?

Kedua, kekuatan kebisingan dalaman, sejauh manakah ahli UMNO sanggup memainkan peranan memberikan tekanan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta Naib-Naib Presiden Umno berdiri di belakang mantan Presiden Umno itu. Harus dingati Zahid selalu Presiden Umno dan beberapa pemimpin tertinggi Umno lain juga sedang berhadapan dengan kes mahkamah.

Sejauh manakah kekuatan dalaman dalam membela Najib itu dapat saling berdesakan, saling mendorong memberikan tekanan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin supaya akur dan prihatin akan ancaman Umno ke atas PN?

Ketiga, kekuatan kebisingan untuk pemecah persatuan, ini berkaitan dengan ruang politik yang tidak dikongsi dalam geo-politik tempatan. Adakah Umno akan bergerak bersama PAS dan sekutu-sekutunya dalam Muafakat Nasional dalam pilihan raya ke-15? Ia seolah-olah politik balas dendam, upaya kolektif menguasai kerusi-kerusi pilihan raya di kawasan strategik Umno dan Pas terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar dan bandar yang majoritinya pengundi Melayu.

Keempat – kekuatan pemicu iaitu sejauh manakah kes Najib dapat mengerakkan sokongan rakyat khususnya orang Melayu ke arah kemenangan Umno dan PAS dalam pilihan raya ke-15? Apakah rakyat sanggup berkorban demi Najib atau Muafakat Nasional sanggup berkorban demi Najib untuk memobilisasikan penyokong mereka ke atas kemenangan pilihan raya.

Sama seperti kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ia akan mengambil masa lapan tahun nak diselesaikan dan memakan proses yang panjang. Kes Najib baru masuk dua tahun.

Keputusan kes Najib yang didapati bersalah, akan menjadi modal untuk PRU15 bagi pihak pembangkang dan PH+. Oleh itu adalah semestinya serangan bertubi-tubi kepada UMNO dan PAS berpelurukan keputusan Najib bersalah.
Adakah kebisingan dan empat kekuatan yang menarik dapat bertahan dan mencetuskan haru biru supaya arus bising diteruskan.

Bagaimana dengan kes Zahid pula yang akan berhadapan dengan kes mahkamah juga. Kebisingan yang sama iaitu sokongan penyokong akan bergema di perkarangan kompleks mahkamah. Sejauh manakah empat kekuatan tersebut akan memainkan peranannya.

Adakah PAS akan terus bersama dalam kekuatan pemicu barangkali PAS akan lebih berkompromi dengan Bersatu di bawah Muhyiddin, sebagai perisai kekuatan untuk terus berada dalam kerajaan.

Adakah kekuatan ketiga iaitu pemecah kesetiaan, dalam hal ini merujuk kepada Muafakat Nasional akan berlaku untuk berkubu dengan Bersatu dan menyaksikan pemecahan Muafakat Nasional pula?

Maka secara teorinya berlakukah pertembungan tiga penjuru terjadi dengan BN+GPS vs PAS+BERSATU+Azmin vs (PH+Tun)?

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran Universiti Selangor (Unisel)