Malaysia Dateline

Kelakarnya mereka yang kata MP Shah Alam tidak bantu penduduk kawasannya

AMANAH Shah Alam menyifatkan tindakan budak-budak dan pemimpin Pas yang mendakwa ahli Parlimen kawasan mereka, Khalid Abd Samad tidak memberikan bantuan kepada rakyat di kawasannya sebagai kelakar.

“Agak kelakar bila pimpinan Pas dan budak-budak Pas Shah Alam kata YB Khalid Samad tak beri bantuan,” kata Abdul Razak Nordin, Naib Ketua Pemuda AMANAH Shah Alam.

Menurut beliau, setiap gerak kerja Khalid Samad dan team Parlimen Shah Alam serta AMANAH Shah Alam boleh dilihat pada page Pusat Peduli Rakyat Ahli Parlimen Shah Alam.

Ia juga boleh dilihat melalui Team PH Shah Alam yang sudah lama bergerak membantu rakyat di setiap kawasan DUN khususnya Rodziah Ismail di Batu Tiga dan YB Najwan Halimi di Kota Anggerik.

Begitu juga dengan Ketua Cabang Keadilan, Yaakob Sapari dan Ketua AMK Shah Alam/Ketua Pemuda PH Shah Alam, SP Sarawanan yang bergerak aktif memberikan bantuan.

Bukan bantuan makanan sahaja, peringkat Parlimen Shah Alam juga telah mengambil inisiatif membuat kempen Vaksin dan penghantaran secara percuma kepada warga Shah Alam yang tidak mempunyai kenderaan ke Pusat Vaksin, kata beliau lagi.

“Dan yang terbaru sumbangan 10 kerusi roda kepada CAC Stadium Malawati yang disampaikan sendiri oleh YB Khalid Samad,” kata beliau yang juga Pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Katanya, Parlimen Shah Alam kini memperkenalkan Bakul Rahmah 2.0 dengan mempertingkatkan bantuan untuk penduduk Shah Alam.

“Sebelum ini Parlimen Shah Alam telah memperkenalkan Bakul Rahmah dan pada kali ini Bakul Rahmah 2.0 akan diberikan kepada warga Shah Alam yang berada dalam kuarantin dan memerlukan bantuan,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh mendakwa, beliau tidak pernah mendengar Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad membantu rakyat di kawasannya.

“Setakat ini saya tidak mendengar ahli Parlimen Shah Alam lagi dan ramai mengeluh, mana kawasan Parlimen yang sudah diberi bantuan,” kata Fuad sebagaimana dilaporkan oleh media rasmi Pas, Harakahdaily.