Malaysia Dateline

Kelangsungan hidup rakyat mesti jadi kiblat baharu perjuangan anak muda

Pada tanggal hari ini, lima tahun lalu telah berlangsung Sidang Anak Muda #SelamatkanMalaysia. Dianjurkan oleh Gerakan Anak Muda Harapan Baru, persidangan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH) ini telah berhasil dengan keterlibatan tokoh-tokoh anak muda rentas kelompok, NGO dan parti-parti politik.

Persidangan yang berlangsung hangat, dengan kritikan besar terhala ke arah kepimpinan negara yang serong dan bobrok, dengan kes-kes berprofil tinggi yang telah memalukan negara di mata dunia, akhirnya telah mencapai kata sepakat dengan 5 Resolusi Bertindak dan 5 Tuntutan Sidang Anak Muda:

5 Resolusi Bertindak Sidang Anak Muda:
1. Bersama-sama menggerakkan himpunan dan tuntutan Bersih 4.0
2. Berkempen menyalakan lampu kenderaan di siang hari sebagai simbolik protes terhadap kepimpinan negara dan bersama-sama mendesak perubahan
3. Bersetuju mewujudkan ‘taskforce’ di kalangan anggota sidang untuk bergerak bersama-sama dalam usaha menyelamatkan negara
4. Bermula 9 Ogos 2015, sidang bersetuju untuk viral hashtag #SelamatkanMalaysia sebagai usaha memupuk kesedaran dan prihatin rakyat untuk bertindak demi masa depan negara
5. Pemimpin negara yang khianat dan rasuah perlu diturunkan SEGERA.

5 Tuntutan Sidang Anak Muda:
1. Membebaskan institusi-institusi penguatkuasaan undang-undang seperti SPRM daripada cengkaman Eksekutif dan meletakkan badan-badan tersebut bawah pertanggungjawaban Legislatif.
2. Memansuhkan akta-akta drakonian yang mencengkam rakyat seperti Akta Hasutan, SOSMA, POTA, POCA, AUKU, dan lain-lain
3. Memastikan tiada pihak berkepentingan memainkan isu agama dan perkauman dalam usaha mempertahankan kedudukan politik
4. Menyeru dan bersama-sama para penjawat awam untuk bangun dan bersuara membetulkan kepincangan urustadbir kerajaan
5. Menggesa keterlibatan anak muda dalam proses membuat keputusan dasar dan polisi kerajaan serta penggubalan dan pelaksanaan polisi baharu bagi membela hak-hak golongan pekerja, petani, nelayan, peniaga kecil, wanita dan orang kelainan upaya (OKU).

Shazni Munir Mohd Ithnin

Seusai persidangan, suatu jawatankuasa telah diwujudkan untuk menggerakkan kesemua Resolusi Bertindak dan Tuntutan Sidang Anak Muda.

Bermula dengan siri-siri perbincangan di premis-premis terpencil (kerana sebilangan kami diekori rapat ‘cawangan khas’ ketika itu), jelajah disusun dan penerangan di media sosial digerakkan yang akhirnya – dengan elemen-elemen lain yang menjadi pemangkin – telah menatijahkan tsunami besar dengan tenggelamnya kleptokrasi jahat semasa PRU-14.

Kini, Gerakan Anak Muda Harapan Baru yang mengorganisasi sidang tersebut telah menjadi sayap parti politik dan dikenali sebagai Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH).

Dan ya, sekilas pandang walau telah lima tahun lamanya berlalu; dengan gerombolan kleptokrasi yang telah dijatuhkan dan kini telah kembali dan semakin mengukuh di persada kuasa, masih berbaki beberapa tuntutan yang belum pun terlaksana.

Tempoh 22 bulan bermati-matian merealisasi perubahan dan kini satu demi satu tiang-tiang perubahan itu diranapkan pengkhianat pastinya bukan senario yang diinginkan semua orang. Dasar penjimatan untuk penguasa hari ini menjadi pemborosan bagi mereka yang berkuasa.

Makan tengah hari di Parlimen sahaja bernilai ribuan ringgit, tidak termasuk elaun puluhan ribu setiap pengerusi anak-anak syarikat kerajaan (GLC) dan agensi yang diisi oleh Ahli-Ahli Parlimen. Rakyat?

Cukup dengan insentif-insentif yang perlu melalui birokrasi-birokrasi yang melelahkan. Berbulan tunggu belum tentu dapat.

Tiada pilihan lain. Gerakan kepemudaan perlu disemarakkan semula. Suara anak muda di setiap peringkat perlu menjadi guruh, bahkan kilat yang mampu menyambar pada bila-bila masa.

Ketika warga muda rata-ratanya kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19 yang dikhuatiri memasuki gelombang ketiga, kita harus sedar bahawa ini adalah prioriti perjuangan.

Kerajaan yang selesa ber ‘makcik kiah pokde mokde’ itu perlu dihenjut agar pelaksanaan bantuan rakyat berjalan lancar – tidak perlu melalui birokrasi berbulan lamanya.

Perjuangan untuk kelangsungan hidup yang kini menjadi kompas setiap isi rumah harus menjadi ‘kiblat’ baharu perjuangan anak muda. Menyerahkan segalanya kepada kerajaan pengkhianat adalah satu keculasan yang tiada maaf baginya.

Tiada lagi dalam sejarah ketamadunan bangsa bahawa golongan pengkhianat ini boleh menyelamatkan orang lain. Sudah namanya pun pengkhianat, pastilah yang diutamakan adalah diri mereka sendiri.

Kalau pun mereka bersuara, suara mereka adalah untuk kepentingan gerombolan pengkhianat jua. Depan orang mereka berwajah malaikat. Di belakang manusia lain, tidak tahulah berapa banyak wajah yang mereka ada.

Akhir kata, selamat ulangtahun kelima Sidang Anak Muda #SelamatkanMalaysia. Sejarah Pemuda AMANAH terbina daripada kepayahan perjuangan dan hempas pulas teriakan lantang di jalan raya.
Tuntutan yang belum selesai akan terus bernadi dalam setiap agenda perubahan. Kita berjuang hanya untuk membina kehidupan yang lebih baik untuk generasi masa depan.

Jika susah dan payah, maka kesusahan itu bakal menjadi tajuk cerita – untuk disurahkan kepada anak cucu esok.

*Penulis adalah Ketua Pemuda AMANAH Nasional.