Malaysia Dateline

Kelantan akui terima bantuan defisit kerana negeri pertanian

Tidak dinafikan dengan hasil yang agak terbatas disebabkan sebuah negeri pertanian maka Kelantan adalah antara negeri penerima bantuan kewangan defisit, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau, bagaimanapun berkata Kelantan juga adalah negeri yang mendapat anugerah pengurusan kewangan terbaik daripada Ketua Audit Negara.

“Dalam soal ini, bukan Kelantan sahaja perlukan bantuan kerajaan persekutuan, semua negeri di Malaysia perlukan bantuan kerajaan persekutuan termasuk Selangor sebuah negeri yang kaya, Pulau Pinang dan Johor,” katanya kepada media di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim hari ini, lapor Bernama.

Mohd Amar mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa Kerajaan Persekutuan berharap agar Kerajaan Kelantan dapat menguruskan hal ehwal kewangan negeri dengan lebih berhemat, selain meningkatkan hasil secara profesional dan sistematik.

Pada masa ini, Kelantan adalah penerima bantuan kewangan defisit tertinggi berjumlah RM363 juta bagi tempoh 2013 hingga 2017.

Mohd Amar berkata jumlah wang diberi kerajaan persekutuan kepada Kelantan bukan satu pemberian tetapi satu pinjaman atau defisit yang perlu dibayar dan dipotong daripada peruntukan tahunan.

“Tidak tepat bagi Guan Eng menyarankan kerajaan negeri urus kewangan lebih berhemat kerana selama ini kerajaan negeri sentiasa berhemat dalam perbelanjaan,” katanya.

Beliau berkata tiada negeri boleh berdikari sepenuhnya malah semuanya perlu kepada bantuan kerajaan persekutuan sepertimana tercatat dalam rekod Majlis Kewangan Negara.

Mohd Amar juga berkata rekod bayaran balik kerajaan negeri ini kepada kerajaan persekutuan adalah amat baik.

“Kalau tak nak beri Kelantan minta peruntukan, kerajaan persekutuan kena beri royalti minyak kepada kami sebab antara hasil besar kerajaan negeri adalah royalti,” katanya.