Kelantan belum dapat penyerang

Kelantan belum dapat penyerang

Pasukan The Red Warriors (TRW) masih belum mendapat penyerang import yang dikehendaki walaupun selepas melalui tiga perlawanan pramusim, kata Pengarah Teknikal Jorg Peter Steinebrunne.

Katanya TRW masih mencari pemain yang sesuai untuk posisi berkenaan dan mereka memerlukan sekurang-kurangnya satu lagi perlawanan persahabatan berkualiti sebelum dapat membuat pemilihan yang tepat.

“Dalam perlawanan persahabatan bersama pasukan Terengganu ll semalam, TRW sepatutnya menguji empat pemain import yang bermain di posisi penyerang.

Bagaimanapun pengadil bertugas Mohd Hasron Mohd Amir terpaksa menghentikan perlawanan disebabkan hujan lebat,” katanya di sini hari ini.

Empat pemain yang dinilai itu ialah Mustafa Zazai dari Afghanistan, Nedo Turkovic (Bosnia), Medina M. Bequere (Nigeria) dan Han dari Korea. Bagaiamanapun hanya Mustafa dan Nedo sempat diuji pada perlawanan itu.

Kelantan kini sudah memiliki tiga pemain import iaitu Cassio Francisco De Jesus dan Flavio Beck Junior kedua-duanya dari Brazil serta Yuta Suzuki dari Jepun dan sedang mencari seorang lagi pemain bagi memenuhi kouta empat pemain import.

Steinebrunne berkata TRW akan menghadapi masalah jika penyerang bersesuaian tidak ditemui sebelum sesi sepak mula liga bermula bulan hadapan.

“Pemain bagi posisi lain tidak menjadi masalah besar kerana prestasi pemain menunjukkan peningkatan.

“Walaupun kita mempunyai barisan pertahanan yang baik, ia tetap akan bermasalah kerana ketiadaan penyerang yang mantap sepanjang saingan liga berlangsung,” katanya.

Sehubungan itu, Steinebrunne berharap akan dapat mengadakan satu lagi perlawanan bagi memilih penyerang yang diperlukan.

— BERNAMA