Kelantan belum tahu butiran syor pertingkat sekolah tahfiz

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah

Kerajaan negeri Kelantan yang diterajui Pas masih tidak mengetahui butiran berkenaan syor Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz yang turut menekankan aspek keselamatan.

Walaupun enam syor jawatankuasa itu telah dikemukakan kelmarin, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam reaksinya berkata, beliau tidak bersedia untuk mengulas cadangan termasuk pindaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

“Saya tidak bersedia untuk ulas (syor) kerana belum tahu butiran terperinci.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri (Kelantan) sentiasa bersedia duduk semeja dengan Kerajaan Persekutuan selagi memberi kebaikan kepada masyarakat Islam,” katanya dilapor akhbar Berita Harian hari ini.

Terdahulu, Naib Presiden Pas itu menyelar pihak yang dianggapnya saling menuding jari dan mencela pusat tahfiz ekoran kebakaran tragis Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah di Kuala Lumpur pada 14 September lalu.

“Kebakaran bukan libatkan tahfiz sahaja, premis kerajaan pun terbakar, kalau begitu kita tutup semua lah. Ini cara pemikiran yang tidak betul. Kita tidak boleh kata, kerana (ciri) keselamatan tidak cukup ia terbakar,” ujarnya kepada media sehari selepas nahas yang mengorbankan 23 nyawa sekali gus itu.

Dalam hal berkaitan, sejurus tragedi tersebut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mendedahkan hanya tiga daripada 163 sekolah pondok atau pusat tahfiz di negeri itu mematuhi spesifikasi keselamatan.

Sementara itu, rata-rata kerajan negeri sedia bekerjasama bahkan di Johor akan mengadakan mesyuarat khas bersepadu pada 27 September ini bagi memastikan semua 95 sekolah tahfiz swasta di negeri itu terurus termasuk dari segi keselamatan.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ketika dihubungi akhbar itu memaklumkan mesyuarat tersebut membabitkan bomba, Jabatan Kesihatan, Jabatan Imigresen dan polis.

Kerajaan negeri Terengganu pula berpendapat cadangan pindaan Akta 550 bagi mewajibkan pendaftaran sekolah agama swasta dan persendirian memudahkan Kerajaan Pusat membuat pelarasan pentadbiran dan menyalurkan bantuan kewangan.

“Cadangan pindaan akta itu sepatutnya diterima baik semua pengusaha maahad tahfiz dan sekolah pondok swasta di negeri ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Terengganu, A Latiff Awang.

Bagi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, beliau turut bersetuju dengan cadangan dikemukakan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin yang turut dihadirinya.

Ahmad Bashah berkata, usaha pemantauan ke atas semnua sekolah agama, tahfiz dan pondok di negeri itu dijalankan secara berterusan meliputi piawaian keselamatan termasuk kemudahan infrastruktur lebih selamat khususnya dalam aspek elektrikal.

Semalam, Kabinet bersetuju dengan enam syor oleh jawatankuasa yang dikemukakan kelmarin bertujuan untuk mengubah landskap pendidikan tahfiz merangkumi aspek akademik, kokurikulum dan keselamatan.

Untuk rekod, terdapat 941 maahad tahfiz swasta yang menampung 150,000 pelajar berdaftar dengan Persatuan Madrasah Tahfiz Malaysia pada masa ini.

Walau bagaimanapun, hanya 612 iaitu 65 peratus daripadanya berdaftar dengan pihak berkuasa negeri dan Kementerian Pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz, di Putrajaya kelmarin berkata, 321 maahad tahfiz yang tidak berdaftar atas alasan khuatir kononnya kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan mahu mengambil alih pusat tahfiz mereka.

CATEGORIES