Kelantan berpotensi besar dalam industri bioteknologi

Kelantan berpotensi besar dalam industri bioteknologi

Kelantan  berpotensi besar untuk memajukan industri bioteknologi, kata Pengarah Pusat Strategi Korporat, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.

Beliau berkata keluasan tanah di negeri ini perlu dimaksimumkan penggunaannya sebagai ladang tanaman herba bagi membekalkan bahan asas kepada industri bioteknologi.

“Industri bioteknologi mampu menjana ekonomi kepada Kelantan,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan syarahan pada Program ‘Chairman Lecture Series (CLS)’ di UMK di sini, hari ini.

Badhrulhisham berkata UMK bersedia berkongsi kepakaran bagi membangunkan industri bioteknologi d negeri ini.

“Setakat ini UMK terlibat dalam membangunkan industri teknologi hijau di Kelantan. Kita harap kerjasama lebih luas mampu dilakukan dalam membangunkan industri bioteknologi di negeri ini kerana ia bukan hanya memberi manfaat kepada Kelantan tetapi juga kepada pelajar, universiti dan masyarakat setempat,” katanya.

 CLS adalah program bulanan UMK bertujuan memberi pendedahan berhubung perkembangan industri negara kepada pelajar dan kakitangan melalui perkongsian maklumat dan pengalaman pelopor industri di negara ini.

Turut menyampaikan syarahan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Solution Engineering Holdings Berhad Datuk Mohd Nazlee Kamal.

Turut hadir Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Husaini Omar.

Sementara itu, Husaini berkata UMK berjaya mencapai 70 peratus kebolehpasaran kerja tahun lepas berbanding 60 peratus tahun sebelumnya.

— BERNAMA