Malaysia Dateline

Kelantan catat satu lagi kluster pendidikan

Satu lagi kluster pendidikan dicatatkan di Kelantan hari ini iaitu Kluster Kampung Pangkal Chuit yang membabitkan pelajar di sebuah maahad tahfiz di Kampung Pangkal Chuit, Machang.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya memaklumkan kes indeks bagi kluster tersebut iaitu kes ke-387,368 dilaporkan positif Covid-19 pada 23 April lalu hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 26 April 2021, sejumlah 180 individu telah disaring, di mana 27 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” kata KKM.

Maahad tahfiz tersebut difahamkan mempunyai lebih 200 pelajar dan semua yang positif dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Panji dan Salor hingga petang tadi.

Terdahulu, Kelantan mencatatkan 343 kes baharu Covid-19 iaitu ketiga tertinggi selepas Selangor dan Sarawak.

Selain merekodkan satu kluster, satu kematian turut dilaporkan di Kelantan membabitkan seorang warga emas wanita berusia 84 tahun yang dirawat di Hospital Tumpat.