Malaysia Dateline

Kelantan digesa segerakan plan tindakan selesai masalah air

Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Negeri Kelantan mengucapkan tahniah dan syabas kepada Datuk Dr Selasawati Ghazali Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab 2 yang tegas membangkitkan isu bekalan air yang meruncing sejak 10 tahun yang lalu.

Ketua AWAN Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, kerajaan Pas Kelantan harus mengambil perhatian dan jalan penyelesaian dengan segera demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

“Apabila pihak pegawai kerajaan sendiri membangkitkan isu kepentingan awam seperti ini diharapkan ianya dapat diambil perhatian,” katanya dalam kenyataan.

Dalam Program Malaysia Prihatin sesi bersama pegawai kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan di Dewan Utama, Kompleks Kota Darul Naim , Dr Selasawati bertanyakan perancangan Kerajaan Negeri bagi menangani masalah gangguan bekalan air yang memberi kesan kepada kakitangan, pesakit dan juga waris pesakit untuk melaksanakan tugas harian mereka.

Sebelum ini pelbagai pihak telah pun menyuarakan dan mendesak pihak kerajaan agar segera menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang merupakan keperluan dan hak asasi setiap rakyat di negeri ini.

Katanya, aduan demi aduan telah dikemukakan oleh pengguna kepada pihak yang bertanggungjawab Air Kelantan Sdn Berhad namun amat mengecewakan kerana seolah-olah pihak yang bertanggungjawab hilang punca dan tidak berdaya untuk menangani isu air di negeri Kelantan.

Justeru AWAN Kelantan menggesa pihak kerajaan segera mengemukakan pelan tindakan penyelesaian isu bekalan air bersih di negeri Kelantan.

“Tentunya ada jalan keluar yang lebih menasabah daripada rakyat terpaksa menunggu puluhan tahun untuk perkara ini diselesaikan,” katanya.