Malaysia Dateline

Kelantan enggan bina pawagam dilihat satu langkah regresif dan mundur

Keengganan kerajaan negeri Kelantan untuk tidak membina pawagam dilihat sebagai langkah regresif dan mundur kerana pawagam sudah sekian lamanya dilihat sebagai salah sebuah pusat hiburan untuk keluarga.

Malahan, menurut Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng masalah-masalah sosial yang serius dapat dihindari sekiranya orang ramai mempunyai akses untuk hiburan seperti ini.

“Kita mahu filem-filem tempatan kita dihargai sama seperti filem-filem Hollywood, tapi tempat tayangan pula tidak kita sediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian berikutan kerajaan Pas enggan membina panggung wayang dengan alasan rakyat Kelantan tidak meminta akan pawagam dibina di negeri tersebut dan pawagam hanya mendorong orang ramai untuk melakukan masalah-masalah sosial.

Baru-baru ini tular berita berkenaan beberapa Pemuda Pas dan salah seorang ahli parlimen Pas yang dilihat menonton wayang di sebuah pawagam di Lembah Klang.

Bagi Lip Eng tindakan Ahli Parlimen Pas iti sudah terang lagi bersuluh ini adalah layanan dwistandard antara rakyat di tempat lain dan rakyat Kelantan.

“Satu lagi alasan dongeng bahawa ‘rakyat Kelantan tak perlu pawagam, boleh tengok Netflix’ yang diutarakan oleh Pas adalah amat memalukan kerajaan Kelantan.

“Ia seperti mengesyorkan tidak perlu adanya pusat beli belah kerana rakyat boleh melakukan perkara sedemikian melalui platform internet seperti shopee, lazada dan sebagainya,” kata beliau.

Beliau yakin dan percaya kepentingan sesebuah pawagam di sesebuah negeri merancakkan lagi industri perfileman negara sekaligus menggiatkan lagi eknomi negeri terbabit.

“Jikalau kita lihat studio-studio penerbitan luar negara seperti Marvel dan Warner Bros, kejayaan sesebuah filem itu dilihat melalui kutipan pawagamnya, walaupun wujud platform strim yang masyhur seperti Netflix.

“Negara kita pula sering berbicara berkenaan mengangkat filem-filem tempatan, tetapi tempat untuk mereka menonton filem-filem pula tidak disediakan.

“Sudahlah filem-filem tempatan juga sedang bergelut untuk mendapat kutipan pawagam yang tinggi. Ada kalanya juga, filem-filem tempatan tidak mendapat pulangan modal untuk filem yang diterbitkan.

“Kebelakangan ini kita sudah dapat melihat trend yang menunjukkan filem-filem sekali lagi mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia,”ujarnya lagi.

Melihat kepada trend ini, katanya, sudah sampai masa wujudnya keperluan untuk membina lebih banyak lagi panggung wayang supaya lebih ramai orang dapat pergi untuk menonton.

“Lebih banyak panggung wayang, lebih ramai orang yang mahu keluar untuk menonton filem-filem dan ekonomi domestik pasti rancak,”katanya.

Baca juga: Rakyat ‘drive’ 3 jam nak tengok Mat Kilau, Mohd Amar kata orang Kelantan boleh tonton Netflix

Baca juga: Mahu perkahwinan gah tapi takut muflis, wanita minta RM16,000 daripada tetamu yang hadir