Kelantan berharap agar hubungan kerajaan dengan kerajaan’ yang terjalin antara negeri dan Persekutuan terus erat atas semangat federalisme.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata beliau telah melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berakhir, yang menyaksikan Pakatan Harapan memimpin negara setelah kejatuhan Barisan Nasional (BN).
“(Dalam pertemuan itu) kita nyatakan perkara-perkara tersirat supaya hak-hak rakyat Kelantan terus terbela, terutama dalam perkara yang diputuskan Kerajaan Persekutuan (sebelum ini).
“Insya-Allah hubungan ini dapat diwujudkan dengan sebaik-baiknya menerusi jabatan-jabatan bersama seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di hari ini, lapor Bernama.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) mengenai status hubungan Kerajaan Negeri dan Persekutuan setelah perubahan pucuk pimpinan Persekutuan pasca PRU14.
Menjawab soalan tambahan dikemukakan Mohd Adhan berhubung kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa PAS dan Barisan Nasional (BN) kini seperti ‘adik-beradik’ berikutan hubungan baik pada penggal lalu, Ahmad berkata hubungan tersebut berlandaskan lunas-lunas yang ditetapkan dalam perlembagaan.
“Tidak berbangkit hubungan ‘adik-beradik’ atau tidak tetapi kita ikut lunas federalisme. Kerajaan Persekutuan wujud kerana adanya negeri-negeri.
“Yang paling penting adalah hak rakyat kita dibela. Mana-mana Kerajaan Persekutuan yang memerintah ada tanggungjawab yang diklasifikasikan dan kita mendesak Kerajaan Persekutuan menyempurnakan hak-hak kita,” katanya.