Malaysia Dateline

Kelantan, Johor, Pahang paling ramai pelajar sekolah jadi penagih dadah

Program rawatan dan pemulihan AADK Daerah Kuala Krai di TualangTaman Sri Nal Enggong Che wa KgGilat dan Berangan Mek Nab pada 24 Oktober lalu

Kelantan menjadi negeri tertinggi penglibatan dadah dalam kalangan kanak-kanak dan remaja apabila sebanyak 1,417 individu terjebak bagi tempoh tiga tahun sejak 2018 hingga Jun lalu.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendedahkan negeri di pantai timur Semenanjung itu mencatatkan kes paling ramai dalam kalangan pelajar sekolah rendah hingga menengah berusia 12 hingga 20 tahun terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah dilapor Mingguan Malaysia hari ini berkata, statistik bagi tempoh sama merekodkan Johor kedua tertinggi remaja terlibat dadah dengan 912 kes diikuti Pahang (872), Selangor (85) dan Sarawak 805 kes.

Menurutnya, remaja dan pelajar sekolah sentiasa berisiko terdedah dengan penyalahgunaan dadah akibat kewujudan pelbagai jenis dadah sintetik yang semakin berleluasa.

Dedahnya, kumpulan dadah yang paling menjadi pilihan pelajar ialah Amphetamine-Type Stimulants (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi apabila sebanyak 8,052 ketagihan direkodkan.

“Apa yang membimbangkan, ketagihan akan menjadi lebih teruk apabila penagih bergantung kepada dadah ini sehingga menyebabkan masalah mental,” tegasnya.

Mengulas rekod lima negeri tertinggi kes remaja termasuk pelajar sekolah terbabit dalam kancah dadah, Zulkifli berkata, kemasukan dadah dipercayai melalui jalan-jalan tikus memandangkan kedudukan negeri-negeri terbabit yang berdekatan dengan negara-negara jiran.

“Begitu mudah dan bekalan dadah ini sampai seterusnya menyumbang peningkatan penagihan dadah dalam kalangan pelajar di lima negeri ini,” tambahnya lagi.

Nota:

Jika anda ada sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah, sila hubungi Pusat Gerakan Hotline AADK di talian 03-8911 2233 atau 019-626 2233. Talian dibuka 24 jam sehari, 7 hari seminggu.