Kelantan kekalkan penyelia Dun, Parlimen PKR hingga PRU14

Kelantan kekalkan penyelia Dun, Parlimen PKR hingga PRU14

Pemimpin PKR berstatus lantikan politik sebagai Penyelia Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Penyelia Parlimen Kelantan dikekalkan sehingga pilihan raya umum (PRU-14).

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri tidak berhasrat memecat mereka yang dilantik sebelum ini walaupun Pas menamatkan kerjasama politik dengan parti itu minggu lalu.

“Setakat ini tiga Penyelia Dun di kalangan anggota PKR, di samping tiga Penyelia Parlimen dikekalkan memandangkan kita mengamal konsep taawun,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.

Penyelia Dun PKR yang dilantik sebelum ini ialah di Dun Paloh, Dun Nenggiri dan Kuala Balah. Manakala bagi parlimen, mereka dilantik di Machang, Ketereh dan Tanah Merah.

PKR juga memenangi Dun Guchil pada PRU lepas melalui Mohd Ruslan Putih.

Minggu lalu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan menyatakan bahawa mereka menunggu arahan daripada parti di peringkat pusat berhubung status jawatan PKR di negeri itu.

“Kami menunggu arahan dari keadilan pusat,” kata ketua AMK Kelantan, Dr Hafiz Rizal.

COMMENTS

Wordpress (0)