Kelantan kembali banjir, air sungai utama terus naik

Kelantan kembali banjir, air sungai utama terus naik

Selepas kembali pulih minggu lalu, kini Kelantan kembali dilanda banjir apabila paras air di sungai-sungai utama terus naik  membabitkan 134 mangsa sudah dipindahkan di empat jajahan utama, Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Mangsa banjir dari 32 keluarga itu dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan, dua di Kota Bharu, satu di Pasir Mas, tiga di Tanah Merah dan dua di Pasir Puteh.

Portal e-banjir melaporkan semua sungai-sungai utama dalam trend menaik.

Bacaan paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai ialah 19.14 meter menghampiri bacaan amaran 22.5 meter.

Manakala bacaan paras air di Sungai Golok Rantau Panjang 8.73 meter menghampiri paras bahaya 9 meter.

Bacaan paras air di Sungai Semerak pula mencatat 1.36 meter di mana paras normal adalah 0.4 meter.

Hujan lebat masih berterusan di Kota Bharu dan kawasan-kawasan pedalaman.

Agensi berita Bernama pula melaporkan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Mohammad Hanafi Maulud berkata kampung terbabit terletak di kawasan rendah dan mudah dinaiki air berikutan hujan lebat sejak semalam.

Di Jajahan Tanah Merah, 52 mangsa daripada 13 keluarga dari Kampung Padang Kijang dipindahkan ke pusat pemindahan Madrasah Padang Kijang manakala 25 orang daripada lima keluarga di Kampung Wakaf Raja dipindahkan ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja di Pasir Puteh.

Jajahan Pasir Mas melibatkan seramai 34 mangsa daripada lapan keluarga dari Kampung Kubang Kual dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Kubang Kual, katanya ketika dihubungi di sini.

Mohammad Hanafi berkata kesemua sungai utama di negeri itu masih di paras biasa dan beliau menjangkakan jika hujan sejak semalam itu berhenti malam ini, mangsa terbabit boleh kembali ke rumah masing-masing esok.

Beliau berkata operasi memindahkan mangsa banjir itu dilakukan secara berperingkat sejak pukul 9 pagi tadi oleh pelbagai agensi yang terbabit dalam pengurusan banjir.

“JKM telah menghantar bekalan makanan serta barangan keperluan lain seperti selimut dan tikar ke semua pusat pemindahan terbabit,” katanya.

Arus air yang deras di kawasan Tendong.

TAGS