Malaysia Dateline

Kelantan kes HIV antara tertinggi fitnah murahan pemimpin DAP, kata Pas

Pas hari ini membidas kenyataan dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Keranji Chong Zhemin yang mempersoalkan ketiadaan pawagam di Kelantan tidak dapat menghalang penularan HiV di negeri itu antara yang tertinggi berbanding lain-lain negeri.

Ketua Penerangan Nasrudin Hassan berkata, Adun DAP itu tidak berpijak kepada realiti apabila membangkitkan isu ketiadaan pawagam dengan kes HIV di Kelantan.

“Adun Keranji kepanasan menempelak Kelantan kerana tiada pawagam lalu mendakwa kononnya Kelantan catat kes HIV tertinggi.

“Realitinya statistik yang dicatat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagaimana yang disunting oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) adalah sebaliknya,” katanya.

Semalam Chong Zhemin membidas keputusan kerajaan Pas Kelantan enggan membuka panggung wayang di negeri itu kerana mengelakkan masalah sosial.

Beliau berpandangan alasan yang diberikan adalah tidak logik dan tidak berasas sama sekali.Ini kerana tiada bukti kukuh bahawa pembukaan panggung wayang akan menyebabkan peningkatan masalah sosial.

Adun Keranji itu juga mendesak kerajaan Pas menjelaskan kenapa Kelantan catatkan kes HIV antara paling tinggi sedangkan panggung wayang diharamkan di negeri itu.

Nasrudin turut memuat turun statistik yang dikeluaran IYRES yang menunjukkan dalam tempoh tiga tahun kes HIV di negeri Kelantan adalah jauh lebih rendah daripada negeri-negeri lain dan bilangan kes HIV di Kelantan menurun dalam tempoh tersebut.

Nasrudin berkata, pemimpin DAP gemar melakukan fitnah murahan sejak Pas-Umno bekerjasama dalam politik tanahair semata-mata dakwanya untuk menutup isu besar salah seorang pemimpin DAP itu di Pulau Pinang.

“Sebelum ini (pada 6 dan 9 Mac 2019) pimpinan utama DAP Lim Guan Eng dan Nga Kor Ming melompat lantun tidak ubah seperti kera kena belacan, lalu menyerang kerjasama Pas dan Umno apabila dilihat ummat Islam kian bersatu dan terkini Adun Keranji

“Selepas ini, entah apa lagi fitnah murahan yang bakal direka cipta oleh DAP untuk menutup isu skandal terowong di Penang dan juga mendepani gelombang kerjasama Pas dan Umno yang bakal merubah landskap politik tanahair.

“Saya percaya, DAP telah hilang sentuhan politik waras. Kini mereka terpaksa menggunakan ‘skil politik fitnah’ dan ‘gaya politik provokasi’ untuk mencetus keresahan rakyat agar tidak menyokong kerjasama Pas dan Umno.

“Namun saya memberi keyakinan penuh kepada rakyat khasnya anak-anak muda yang cerdas akal dan celik politik untuk menilai dan menolak politik provokasi dan politik fitnah yang diamalkan oleh DAP mutakhir ini,” ujarnya.