Malaysia Dateline

Kelantan macam ‘lembu kenyang’ setiap kali terima royalti Petroleum, selar Husam

Ketua AMANAH Bahagian Kota Bharu, Datuk Husam Musa menempelak sikap kerajaan negeri Kelantan yang dilihat hanya berdiam diri selepas menerima hasil petroleum daripada Putrajaya sebanyak RM400 juta.

Bekas Naib Presiden AMANAH itu berkata, kerajaan negeri Kelantan sepatutnya menghebahkan perbelanjaan wang royalti petroleum dan berkongsi hasil galian itu kepada rakyat.

Sehubungan itu, Husam mengingatkan supaya wang royalti petroleum merupakan milik rakyat dan tidak harus disalahgunakan dengan bermewah-mewahan tanpa menyumbang kepada rakyat.

“Setiap kali terima – kerajaan negeri tak maklum pada rakyat Kelantan. Membisu saja. ‘Lembu kenyang’ – katakan.

“Aturlah program biar rakyat jelata dapat mengecapi hasil bumi Kelantan seperti hasrat Bapa Pejuang Royalti – Tok Guru Nik Aziz.

“Jangan dibazirkan. Jangan pemimpin guna untuk bermewah,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Husam Musa

Reaksi Husam itu susulan pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa Kerajaan Pusat telah menyalurkan hasil petroleum sebanyak RM400 juta kepada Kelantan bagi tempoh dua tahun iaitu pada 2020 dan 2021.

Beliau berkata, peruntukan secara langsung dan seratus peratus disalurkan kepada Kelantan berjumlah RM400 juta itu adalah hasil lima peratus daripada pengeluaran medan berdekatan Kelantan.

Mengulas lanjut, Husam juga mengingatkan banyak golongan asnaf yang masih memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri dan wajar diberikan perhatian.

“Sedikit sama dikecapi, banyak sama dilapah.

“Ingat rakyat miskin mengharap, faqir melarat, anak yatim, pelajar dan guru pondok, anak muda inovatif dan kreatif, armalah, warga emas, peniaga kecil, usahawan, peluang niaga dan pembinaan generasi di era digital dan teknologi – antara lain.

“Tiada lagi belanja duit royalti petroleum tanpa ketelusan,” tegas Husam yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor ketika bersama Pas.