Malaysia Dateline

Kelantan mula PKPB esok, colek dilarang jual

Paling lewat membuat keputusan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Kelantan akhirnya memutuskan untuk melaksanakan polisi itu bermula esok.

Keputusan kerajaan negeri Pas tersebut dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (MKN) Khas Negeri Kelantan Bilangan 10 di Kota Bharu hari ini.

“Kita putuskan akan melaksanakan PKPB bermula esok. Pada dasarnya, keseluruhan item yang dikeluarkan oleh kerajaan Pusat kita akan laksanakan dan terima.

“Semoga hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melihat pemulihan sektor ekonomi rakyat berlaku,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu.

Turut hadir Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, bagaimanapun, terdapat sedikit perubahan kesesuaian masa yang akan dilaksanakan di Kelantan setelah 36 item ekonomi dibenarkan beroperasi.

Menurutnya, mesyuarat juga memutuskan untuk tidak membenarkan aktiviti perniagaan colek pada waktu malam di negeri itu yang lazimnya meriah setiap kali Ramadan.

“Sektor makanan beroperasi bermula jam 3 petang hingga 6.30 petang. Insya-ALLAH selepas Ramadan ini ada SOP (prosedur standard operasi) lain,” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri juga mengekalkan ketetapan untuk tidak membenarkan masjid-masjid dibuka bagi solat berjemaah.

“Setakat ini masjid hanya empat orang dibenarkan sebagaimana digariskan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) kecuali terdapat perubahan daripada Maik,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, hanya empat negeri muktamad menerima sepenuhnya PKPB yang bermula semalam iaitu Terengganu, Perlis, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

Lima negeri lagi menolak PKPB sekali gus tidak membuka semula sektor ekonomi iaitu Sarawak, Sabah, Kedah, Pahang dan Pulau Pinang.

Kesemua negeri terbabit memutuskan untuk meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat yang akan berakhir pada 12 Mei.

Sementara itu, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan bersetuju melaksanakan PKPB tetapi dengan pengubahsuaian tertentu antaranya pelanggan tidak dibenarkan makan di restoran.

Ekoran itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menganggap keingkaran negeri terbabit mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pihak industri.

Hanya Kota Bharu zon merah dengan paling banyak di Panji diikuti Kota, Kemumin dan Sering.