Malaysia Dateline

Kelantan patut fikir kaedah beri peniaga kecil terus ‘survive’ dengan SOP ketat

Bekas Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa melahirkan rasa sayu terhadap rintihan para peniaga yang kecewa selepas menunggu ‘tuah’ dari bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.

Beliau mempersoalkan sama ada kerajaan Kelantan tidak mempunyai pilihan yang lebih sesuai untuk memberikan ruang kepada peniaga kecil meneruskan ‘survival’ hidup.

Menurutnya, kesusahan rakyat kecil mencari pendapatan sudah berlarutan lama sehingga menyebabkan mereka sangat tertekan.

“Tidak adakah di sana pilihan lebih kreatif antara dua keadaan – pematuhan sepenuhnya dengan SOP ketat (untuk) mengelakkan penularan, dan peniaga kecil diberi ruang meneruskan survival hidup?

“Kita patut sudah belajar untuk wujud bersama antara pandemik dan kehidupan rakyat jelata sehingga kadar penduduk bervaksin setara.

“Ketika pematuhan ketat diikuti, kreativiti boleh mengambil jalan tengah dengan sedikit rasa prihatin dan berkebajikan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Terdahulu, kerajaan Kelantan memutuskan untuk membatalkan kebenaran pengoperasian bazar Ramadan dan bazar Aildilfitri tahun ini hanya ketika dua hari sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Kelantan, Dr Izani Husin berkata, keputusan itu dibuat untuk membendung penularan Covid-19 di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.

Susulan pengumuman tersebut, peniaga di negeri itu rata-ratanya meluahkan rasa kecewa danĀ  tidak puas hati dengan pengumuman saat akhir yang menurut mereka memberi kesan apabila ribuan ringgit modal digunakan untuk membeli pelbagai barangan berniaga ‘hangus’ begitu sahaja.

Sementara itu, Husam yang juga bekas Naib Presiden AMANAH berkata, kerajaan sepatutnya menimbangkan untuk mencari kawasan pasar yang lebih luas supaya adanya penjarakan gerai-gerai.

Malah katanya, ruang penjarakan ketika waktu puncak kunjungan juga boleh diwujudkan dengan menyediakan laluan sehala bagi pengunjung untuk mengelakkan selisih.

“(Wujudkan) kawalan jumlah pengunjung pada satu-satu masa dengan petugas mengawal di laluan masuk, sama seperti kawalan di pasar raya dan lain-lain langkah seperti dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bahkan, (boleh sediakan) mesin pembayaran digital dan lain-lain gajet terkini untuk membantu. Kita nak beraya, mereka juga nak beraya,” ujarnya