Malaysia Dateline

Kelantan perlu kepimpinan baharu selepas PRU 15 selepas Pas gagal

Rakyat negeri Kelantan perlu ada kerajaan baharu di negeri ini selepas PRU akan datang, kata bekas pemimpin Pas.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahudin Ayub berkata, parti itu sedia menggantikan Pas.

“Pas sekarang bukan yang kita kenal suatu waktu dulu manakala AMANAH parti masa depan yang akan gantikan Pas,” kata Salahudin dalam majlis makan colek bersama pimpinan AMANAH di Kota Bharu kelmarin.

Menurut bekas ahli Parlimen Kubang Kerian itu, AMANAH yang bawa imej Islam yang rahmatan lil alamin, progresif dan tidak rasis perlu menggantikan Pas.

“Dulu, ketika kami memimpin Pas, kami akan lawan segala penyelewengan, rasuah dan sebagainya yang dilakukan oleh sesiapa sahaja.

“Tetapi apa yang Pas buat sekarang untuk melawan penyelewengan selepas berada dalam kerajaan,” tanya beliau.

Beliau memberikan contoh kes 1MDB yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

“Lihat kes Najib yang menyelewengkan wang negara dan didedah di seluruh dunia.

“Presiden Pas sendiri bersama dengan Najib selepas dijatuhkan hukuman melalui sistem keadilan negara,” kata Salahudin.

Pemimpin AMANAH sedang turun ke negeri-negeri selepas negara memasuki fasa endemik selepas sekian lama dibelenggu oleh Covid-19.

Kelantan menjadi negeri pertama yang turun bagi memberikan semangat baru kepada kepimpinan dan penyokong AMANAH di negeri itu.

Sebelum ini Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu turun bersama AMANAH Kelantan khasnya pemuda.