Malaysia Dateline

Kelantan sambut baik program makanan percuma kepada murid tahun depan

Kerajaan Kelantan menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan yang mahu menyediakan ‘sarapan percuma’ kepada 2.7 juta murid sekolah rendah mulai Januari tahun hadapan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagaimanapun berkata makanan yang disediakan mestilah berkualiti supaya tercapai maksud, dan pelaksanaannya pula bukanlah dengan tujuan semata-mata untuk beri projek kepada pihak-pihak tertentu sahaja.

“Kita menyambut baik langkah kementerian dalam melaksanakan program makanan pagi dan petang secara percuma sebelum sesi pembelajaran bermula. Apa yang penting, makanan yang disediakan itu berkhasiat dan seimbang,” katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai program yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan itu.

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, melalui program itu nanti murid di sekolah rendah akan disediakan makanan enak berpandukan menu sihat dan berkhasiat mulai 2020.

Katanya program itu diperkenalkan secara perintis di beberapa sekolah bertujuan membina sahsiah dan kecerdasan murid dan dijangka akan diperluaskan ke sekolah menengah dalam tempoh masa yang masih belum ditetapkan.

— BERNAMA