Kelantan sudah dibayar royalti minyak bulan lepas, kata Lim Guan Eng
Kerajaan PH catat sejarah apabila memberikan buat pertama kalinya royalti minyak untuk Kelantan sebagaimana yang diumumkan Lim Guan Eng semalam.

Kelantan sudah dibayar royalti minyak bulan lepas, kata Lim Guan Eng

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan, royalti minyak untuk Kelantan sudah dibayar pada bulan lepas lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta pembangkang yang mendakwa Kelantan belum menerima bayaran royalti minyak perlu membuat semakan dengan kerajaan negeri itu.

“Saya telah tandatangani pembayaran atas arahan perdana menteri, dan saya telah semak dengan pejabat saya dan mereka kata pembayaran telah dibuat.

“Sebenarnya pembayaran (dijadual) dibuat pada Januari (2020) tetapi telah diawalkan ke bulan lepas,” kata Lim kepada media di Parlimen lewat petang semalam.

Pembayaran ini merupakan satu catatan sejarah buat Kelantan apabila buat pertama kalinya menerima bayaran royalti tersebut.

Perjuangan untuk mendapatkan royalti minyak dibuat oleh kerajaan negeri pimpinan Pas di bawah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sejak berpuluh tahun lalu.

Tunggak di belakang perjuangan ini adalah exco kerajaan negeri ketika itu Datuk Husam Musa.

Salah satu janji Pakatan Harapan Kelantan pimpinan Husam menjelang pilihan raya lalu adalah royalti minyak untuk Kelantan jika PH menang.

Ia kini benar-benar menjadi kenyataan apabila royalti mula dibayar walaupun Kelanan kekal di tangan pembangkang iaitu Pas selepas PH menang di peringkat pusat.