Kelantan sudah terima wang royalti RM28 juta, dakwa aktivis

Kelantan sudah terima wang royalti RM28 juta, dakwa aktivis
Sham Ghaz mendakwa semua wang itu dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri berbanding Wang Ehsan dimasukkan ke dalam akaun JPP.

Kerajaan negeri Kelantan didakwa menerima wang royalti sejak 21 Februari 2019 lagi dan kini sudah berjumlah RM28 juta lebih dengan bayaran terakhir 18 September lepas.

Berbeza dengan Wang Ehsan, wang Royalti dibayar terus ke dalam akaun kerajaan negeri manakala wang Ehsan dibayar melalui akaun Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), dakwa aktivis kumpulan Royalti Malaysia dan Royalti Kelantan, Hishamudin Ghazali atau Sham Ghaz.

“Kenapa kerajaan negeri Kelantan menipu rakyat dan mendiamkan diri, walaupun Kerajaan Persekutuan telah membuat bayaran royalti 5 peratus kepada kerajaan megeri sejak 21 Februari 2019 lagi,” soal Sham dalam satu tulisan di Facebook beliau.

Sham Ghaz menjawab kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub yang mendakwa kerajaan pusat hanya membayar Wang Ehsan bukannya Royalti sebagaimana yang dinyatakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam.

Sham Ghaz menurunkan nilai sebenar jumlah diterima dan tarikh penerimaan wang yang dibuat Kementerian Kewangan secara langsung kepada akaun kerajaan negeri;

 

• 21hb Feb 2019 – RM9,467,277.56

• 26hb Mac 2019 – RM3,155,759.19

• 18hb Sep 2019 – RM 15,749,561.50

Jumlah keseluruhan: RM28,372,598.25

Bagi beliau, kerajaan negeri sepatutnya jujur dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, bukannya mempolitikan isu ini kononnya ia pemberian “wang ehsan”.

Sedangkan, katanya, duit itu adalah wang royalti 5 peratus yang disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri Kelantan mengikut Perjanjian Kelantan – Petronas 1976.

“Wang ehsan berbeza dengan wang royalti, kerana disalurkan ke Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) sewaktu zaman kerajaan dinosaur BN dulu, ia melanggari perjanjian,” katanya.