Malaysia Dateline

Kelantan, Terengganu terancam banjir besar minggu depan, kata aktivis

Kelantan dan Terengganu dikatakan terancam dengan banjir besar minggu depan ekoran ramalan akan mengalami hujan lebat berterusan.

Aktivis dan pemerhati cuaca dikenali sebagai MatGeo berkata, kawasan pedalaman di kedua-dua negeri Pantai Timur itu dijangka mengalami keamatan hujan yang tinggi sekaligus mengundang risiko banjir berskala besar.

“Kelantan dan Terengganu turut terancam banjir besar minggu depan. Kita lihat pula bagaimana ancaman ini diperkirakan.

“Meninjau perbezaan antara ramalan hujan terkumpul bagi lima hari dan bagi 10 hari ke depan untuk Kelantan dan Terengganu memperlihatkan pada lima hari terakhir, hujan lebih banyak turun di pedalaman dua negeri ini,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Menurutnya, tumpuan hujan yang tinggi ke seluruh negeri dalam 10 hari ke depan dengan lima hari terakhir menumpu ke hulu-hulu sungai.

Jelasnya, keadaan tersebut menjadikan kepekatan warna lebatnya naik mendadak memberi indikasi kepada tahap waspada, contohnya di tadahan Tasik Kenyir, Jeli dan hulu Sungai Lebir.

Walaubagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa tiada yang pasti dalam ramalan cuaca.

“Desakan untuk mendapatkan maklumat awal membuatkan unjuran sebegini sudah cukup baik untuk kita mengambil langkah waspada dan siap sedia,” nasihat MatGeo lagi.

Pandangan beliau dilihat selari dengan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam yang meramalkan hujan lebat berterusan hingga 21 Disember ini.

MetMalaysia memaklumkan bahawa luruan monsun dijangka memasuki rantau negara mulai 17 Disember berdasarkan berdasarkan analisis model-model cuaca.

“Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan timur Sabah dalam tempoh 17 hingga 21 Disember 2022.

“MetMalaysia sedang memantau keadaan ini dan akan mengeluarkan Amaran Hujan Lebat Berterusan Peringkat Waspada sekiranya perlu,” kata Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah.

Baca juga ‘Jangan kata sekali dalam 100 tahun, esok lusa pun boleh berlaku banjir luar biasa’

Baca juga Wajah ‘awet muda’ wanita ini, buat netizen terfikir-fikir usia sebenar dia